BINTULU: Pengorbanan lima individu yang terkorban dalam nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) berhampiran Long Lellang pada 8 September lepas menjadi lambang dedikasi petugas yang membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
Menurut kenyataan Persatuan Pengamal Kesihatan Awam Sarawak (SaPHePA), kelima-lima mangsa akan dikenang sebagai wira perkhidmatan atas keberanian dan komitmen mereka dalam membawa harapan serta penjagaan kesihatan kepada komuniti yang memerlukan.
Menurutnya, petugas kesihatan dan kru penerbangan FDS melaksanakan tugas di barisan hadapan sistem kesihatan dengan melakukan perjalanan ke kawasan paling terpencil di Sarawak bagi memastikan tiada komuniti terputus daripada akses kepada perkhidmatan kesihatan.
“Pengorbanan mereka mencerminkan nilai tertinggi perkhidmatan awam dan tidak akan dilupakan,” katanya.
SaPHePA berkata, FDS mempunyai peranan penting dalam perkhidmatan kesihatan Sarawak sejak lebih lima dekad, khususnya dalam memastikan penjagaan kesihatan dapat disampaikan kepada masyarakat tanpa mengira jarak, keadaan geografi atau kesukaran akses.
Persatuan itu turut memberi penghormatan kepada petugas kesihatan, anggota penerbangan dan pasukan sokongan yang pernah serta masih berkhidmat menerusi FDS dalam keadaan mencabar.
Menurutnya, komitmen mereka membantu memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman Sarawak terus berhubung dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan penting.
SaPHePA turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan sekerja dan insan tersayang kelima-lima mangsa serta komuniti kesihatan yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Persatuan itu turut menyatakan solidariti kepada Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan komuniti FDS.
“Dalam perkhidmatan kepada orang lain, demi amanah, mereka pergi ke kawasan pedalaman yang amat mengharapkan kehadiran mereka,” ujarnya.





