KUALA LUMPUR: Tatkala segelintir jururawat di beberapa negara mengeluh akan cabaran baharu di tempat kerja akibat pandemik COVID-19, ribuan ‘Florence Nightingale’ Malaysia tetap meneruskan tugas dengan penuh dedikasi walaupun terdapat kekangan dan kebiasaan baharu di tempat kerja.
“Ada laporan berita mengenai jururawat luar negara yang berhenti kerja, ada yang membuat protes akibat kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE).
“Namun, syukur di negara ini, tiada yang bersikap seperti itu dan ia merupakan sifat yang terpuji. Jururawat kita amat berdisiplin dan cekal jika dibandingkan dengan segelintir ‘misi’ di negara luar,” kata bekas Dekan Fakulti Kejururawatan Universiti MAHSA Prof Zahrah Saad ketika dihubungi Bernama.
Bersempena sambutan Hari Jururawat 2020 hari ini, beliau berharap jururawat diberikan penghargaan sewajarnya, selain mengusulkan agar elaun khas COVID-19 melibatkan petugas kesihatan dipercepatkan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.
Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN) menetapkan tema sambutan tahun ini – ‘Nurses: A Voice to Lead – Nursing the World to Health’ – jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan jururawat dalam memulihkan dunia daripada pandemik COVID-19. Menariknya, tahun ini juga merupakan ulang tahun kelahiran ke-200 Florence Nightingale, perintis kejururawatan moden dan Hari Jururawat juga disambut bersempena hari lahir tokoh itu.
Zahrah yang juga pengarah perhubungan antarabangsa universiti itu berkata profesion jururawat masih menjadi pilihan memandangkan permintaan dalam bidang itu semakin meningkat, justeru, pihak berwajib harus memikirkan strategi berkesan dengan meningkatkan pengambilan jururawat khususnya bagi menampung keperluan pesakit dalam negara.
Katanya seseorang jururawat turut perlu melengkapi diri dengan kemahiran dalam pelbagai bidang pengkhususan rawatan seperti pediatrik, perbidanan, dan ortopedik bagi membantu petugas kesihatan lain sekiranya terdapat kecemasan.
Sementara itu, Pengarah Kejururawatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tumble Ngadiran@Tomblow ketika dihubungi menerusi e-mel berkata jumlah jururawat yang berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia adalah seramai 130,169 orang, dan daripada jumlah itu seramai 88,103 jururawat bertugas bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seorang jururawat terlatih di Hospital Banting, Nur Nabiila Masfuzah Abdullah, 34, pula berkata dorongan kuat ibunya yang mahu beliau menjadi jururawat ditambah dengan pengalaman mengendalikan pesakit menyebabkan beliau komited dengan tugasnya sehingga kini.
S.Nithyadevi, jururawat terlatih di Hospital Pulau Pinang berkata pandemik COVID-19 memberi ‘tamparan’ hebat bagi barisan petugas hadapan kerana terpaksa melakukan pelbagai pengorbanan demi tugas.
Jururawat di Hospital Umra, Shah Alam, Suriakala Subbaiah Salim dalam perkongsiannya berkata isu COVID-19 meninggalkan kesan besar dalam kehidupan jururawat dan dianggap ‘tsunami’ yang melanda dunia.
Diharap segala jasa dan pengorbanan para jururawat dipandang tinggi dan dihargai. Masyarakat perlu memahami tugas mereka bukan sekadar menukar cadar atau mengemas katil pesakit, malah ia melangkaui banyak aspek. Selamat Hari Jururawat.
— Bernama