
KUCHING: Penyertaan aktif golongan muda dalam bidang keusahawanan dan inovasi disifatkan sebagai pemacu utama kepada pembangunan masa depan Sarawak, selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata generasi baharu perlu bersedia dari sekarang dengan ilmu, kemahiran serta pemikiran yang kreatif bagi mendepani cabaran dunia berasaskan teknologi.
“Keusahawanan bukan sekadar membuka perniagaan, tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan kemampuan untuk melihat peluang di sebalik cabaran serta menyelesaikan masalah penting yang wujud sama ada di sekolah, dalam komuniti atau pada peringkat global.
“Kita memerlukan usahawan muda kerana mereka merupakan generasi yang akan memacu pembangunan industri masa depan, membawa kemajuan teknologi dan membina ekonomi yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Keusahawanan anjuran Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini, hari ini.

Program tersebut menghimpunkan lebih 100 pelajar sekolah menengah dari Kuching dan Bau sebagai usaha mencungkil minat dan bakat awal dalam bidang keusahawanan.
Tambahnya lagi, bidang keusahawanan dan inovasi merupakan sebahagian komponen penting dalam PCDS 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan.
“Justeru, golongan muda Sarawak perlu dilengkapkan dengan kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan berkesan agar mampu bersaing dalam ekonomi berasaskan teknologi.
“Para pelajar perlu berani berfikir di luar kotak, aktif bertanya dan bekerjasama sebagai langkah persediaan menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan yang kian kompleks,” ujarnya.
Antara sekolah yang terlibat dalam program ini termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, SMK Matang Jaya, SMK Green Road, SMK St. Thomas, SMK Batu Lintang, SMK Pending, SMK (A) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dan SMK St. Joseph.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Anielia Siam, Timbalan Naib Canselor Pro (Akademik) Swinburne Sarawak Ir. Profesor Sim Kwan Yong dan Pengarah Pelajar Masa Depan Swinburne Sarawak, Jason Chan.
Oleh Rynna Sha’erra