
KOTA SAMARAHAN: Penyertaan Bumiputera dalam ekonomi Sarawak tidak lagi boleh bersifat biasa atau sekadar memenuhi angka, sebaliknya perlu beralih kepada penglibatan berimpak tinggi yang mampu bersaing dalam sektor bernilai tinggi dan berteknologi maju.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keutamaan kini adalah membina syarikat Bumiputera yang bukan sahaja wujud dalam pasaran, tetapi mampu berkembang, berdaya tahan dan bersaing di peringkat global.
“Penyertaan yang kita mahukan ialah penyertaan yang berimpak tinggi, dengan syarikat yang mampu berkembang, mengadaptasi teknologi, meningkatkan produktiviti serta bersaing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Program TERAJU Aspirasi Jangkauan 2026 di TEGAS Digital Village, di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha itu selari dengan hala tuju ekonomi Sarawak yang kini memberi penekanan kepada sektor ekonomi baharu seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui serta industri pembuatan maju.
Katanya, kekuatan negeri dari segi dasar yang jelas, kedudukan strategik serta keupayaan dalam tenaga boleh diperbaharui menjadi antara faktor utama menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Sarawak.
“Ini meletakkan Sarawak dalam kedudukan yang kukuh untuk menjadi hab pelaburan, termasuk dalam industri semikonduktor dan aeroangkasa yang turut mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menegaskan bahawa penglibatan Bumiputera perlu diperkukuh melalui peningkatan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang disifatkan sebagai tulang belakang ekonomi.
Menurutnya, masih terdapat syarikat berskala kecil serta tidak berdaftar, justeru pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan perniagaan ini dapat berkembang secara berperingkat.
“Kita mahu daripada peringkat mikro, syarikat ini dapat meningkat ke tahap lebih tinggi. Sebab itu, data yang lengkap amat penting supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan,” katanya.
Tambah Awang Tengah, usaha itu turut disokong melalui kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi mempercepatkan pembangunan syarikat Bumiputera.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti lapan syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu syarikat dapat mencapai kejayaan tersebut menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Taliff Saleh dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi serta tetamu kerhomat yang lain.
Oleh Adele Rissa