
SARATOK: Setiap sekolah perlu berusaha gigih dalam membangunkan dan membudayakan aktiviti sukan di kalangan warga sekolah sebagai usaha menyeluruh melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, peranan sukan dalam institusi pendidikan bukan sahaja terhad kepada kecergasan fizikal, malah turut memberi kesan positif terhadap pembentukan sahsiah dan jati diri murid.
Menurutnya, penglibatan aktif murid dalam sukan juga mampu memupuk semangat kerjasama, nilai patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, sejajar dengan matlamat perpaduan negara.
“Pelajar yang terlibat dalam kegiatan sukan dan kokurikulum secara berterusan lazimnya mempunyai daya tahan mental yang kuat, semangat juang tinggi dan disiplin diri yang mantap,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Saee Ason telah mewakili ADUN Kalaka merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan antara rumah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyiar, dekat sini semalam.
Tambah Mohamad Duri, sukan juga memberi ruang kepada murid untuk mengasah bakat, mengurus emosi dan belajar mengendalikan tekanan serta cabaran dengan lebih matang.
Jelasnya lagi, pembangunan pelajar cemerlang tidak boleh hanya ditumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pengukuhan potensi diri dari pelbagai aspek melalui aktiviti luar bilik darjah.
“Gabungan intelek, jasmani, rohani, emosi dan sosial yang seimbang adalah asas utama dalam membentuk pelajar berpotensi tinggi. Inilah matlamat pendidikan holistik yang kita ingin capai,” ujarnya.
Dalam pada itu, kejohanan kali telah mencipta rekod yang tidak diduga di mana Rumah Ungu dan Rumah Hijau berkongsi mata keseluruhan untuk bergelar juara bersama.
Moses Joel Jerampang telah dinobatkan sebagai olahragawan dan Valentina Dealova Empiang Collin dinobatkan sebagai olahragawati kejohanan.
Oleh Adi Safarman