
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya penglibatan aktif golongan belia dalam dialog dan proses penggubalan dasar adalah penting bagi membina ASEAN yang inklusif, berdaya tahan dan mampan pada masa hadapan.
Berucap pada Dialog Belia ASEAN 2025 ke-4, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyeru delegasi supaya memacu perubahan dan membina masa hadapan dengan setiap anak muda dapat berkembang maju.
Bertemakan ‘Belia untuk Masa Hadapan Mampan: Memperkasakan Keterangkuman dan Memacu Perubahan di ASEAN’, beliau berkata dialog tahun ini, yang diadakan dari 22 hingga 28 Mei bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, tiba pada saat penting ketika dunia sedang mengalami transformasi teknologi, ekonomi dan alam sekitar yang pesat.
“Dalam landskap yang dinamik ini, belia ASEAN bukan sekadar pemimpin hari esok, tetapi anda ialah pencetus perubahan hari ini. Sepanjang dialog ini, saya menggalakkan anda mengambil setiap peluang untuk belajar, berhubung dan memimpin.
“Dalam beberapa hari akan datang, anda akan terlibat dalam perbincangan kritis dan dialog dasar, bertukar-tukar idea dan amalan terbaik, serta merangka cadangan dalam Kenyataan Belia ASEAN yang akan membantu membentuk agenda belia ASEAN,” katanya dalam teks ucapan yang dikongsikan kepada media.
Hannah turut menggesa peserta supaya tampil berani, berinovatif dan bersatu dalam matlamat mereka, menekankan kepentingan dalam menyampaikan Kenyataan Belia ASEAN secara langsung kepada pemimpin ASEAN untuk memastikan suara golongan berkenaan didengari pada peringkat tertinggi.
“Kita semua sedar akan cabaran yang dihadapi belia hari ini, daripada keperluan pendidikan berkualiti dan pekerjaan yang baik kepada keperluan mendesak tindakan iklim, transformasi digital dan membina masyarakat inklusif.
“Kita juga perlu menangani risiko maklumat salah, buli siber dan kesan perubahan iklim yang semakin meningkat, cabaran ini memberi kesan tidak seimbang terhadap orang muda dan komuniti mudah terjejas,” katanya.
Hannah turut mengulangi komitmen Malaysia untuk memastikan setiap anak muda dapat menyumbang secara bermakna kepada masa hadapan rantau ini ketika negara menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini berpandukan prinsip “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Dalam hal ini, beliau berkata Visi Komuniti ASEAN 2025, Rancangan Kerja Belia ASEAN dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 secara kolektif mengiktiraf belia sebagai pemangkin perubahan positif sekali gus menunjukkan komitmen dan sokongan ASEAN terhadap pembangunan belia di seluruh rantau ini.
Hannah berkata beliau percaya Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan dilancarkan pada Oktober, bersama-sama dengan Rancangan Kerja Belia ASEAN 2026 hingga 2030, akan memberi tumpuan khusus terhadap cabaran utama seperti pendidikan dan kemahiran digital serta peningkatan sokongan sosial dan kesihatan mental.
Susulan Sidang Kemuncak SDG Belia Malaysia-ASEAN yang diadakan dua minggu lepas, beliau berkata KBS akan menganjurkan Cabaran Robot Belia ASEAN 2025 pada Julai, sebuah program bertujuan meningkatkan kemahiran dalam teknologi, kejuruteraan dan robotik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa untuk berjaya dalam memajukan agenda pembangunan belia ASEAN, usaha ini perlu disokong oleh kerjasama kukuh dalam kalangan kerajaan, sektor swasta, institusi akademik, masyarakat sivil dan yang paling penting, belia ASEAN itu sendiri.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula pada hari ini dengan mesyuarat pegawai kanan, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei dan sidang kemuncak pemimpin pada 26 Mei.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005, dan 2015.– Bernama