Dalam tempoh 100 hari pemerintahan GPS, terdapat beberapa perkara asas yang digariskan oleh pimpinan politik Sarawak. Yang pertama sekali dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah perubahan gelaranKetua Menteri Sarawak kepada ‘Premier’. Langkah ini ditegaskan oleh beliau adalah untuk membezakan status Sarawak daripada negeri lain dalam Persekutuan.
Langkah ini tambah beliau bukan satu langkah untuk bermegah diri atau mengagungkan diri sendiri dan sesuatu yang untuk dibanggakan secara peribadi. Sebaliknya Kerajaan Negeri berpendirian bahawa gelaran Ketua Kerajaan (Sarawak) perlu berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan.
Dengan kata lain, hal sedemikian ini bukan untuk kejayaan peribadi bagi dirinya sendiri, akan tetapi sebagai hadiah untuk Sarawak yang memilih GPS dan menjadikan GPS sebagai parti utama apabila memenangi 76 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini.
Ternyata tarikh 15 Februari 2022 adalah tarikh bersejarah bagi rakyat Sarawak dan GPS kerana pada tarikh tersebutlah, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022. Terdapat klausa yang mengandungi pindaan untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ apabila terdapat majoriti lebih dua pertiga Ahli Dewan menyokongnya.
Reaksi
Terdapat juga pandangan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan perlu mengusulkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 160. Tujuannya adalah untuk menambah dan menguatkuasa takrifan Premier Sarawak sebagai gelaran mewakili Ketua wilayahnya. Hal ini kerana, gelaran Premier tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hakikatnya, Perkara 160 dalam Perlembagaan tidak mempunyai takrifan Premier sebagai Ketua Eksekutif Negeri. Dalam Perkara 160, Ketua Eksekutif Negeri merujuk kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar. Namun, apa-apapun pandangan, Kerajaan Sarawak pasti akan melihat kelompangan ini dan membaiki kelompangan ini dan meminta Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri melihat dan menilai keperluan bagi tujuan tersebut. Perkara ini dijangka akan menjadi agenda jangka panjang GPS bagi memastikan isu ini dapat ditangani dan segala persepsi berkisar mengenai isu ini dapat diselesaikan secara undang-undang dengan adanya komitmen daripada Kerajaan Persekutuan.
Autonomi
Dengan kata lain, dari segi jangka panjang, peruntukan kuasa yang lebih dengan cara menuntut kuasa autonomi yang lebih baik, sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 dijangka akan diperjuangankan. Misalnya, tuntutan mengenai perlunya peralihan kuasa bagi perkara-perkara di bawah senarai Persekutuan, dikembalikan, dipindahkan atau dipindahkan kepada senarai kuasa Kerajaan Negeri berdasarkan keperluan semasa dan aspek strategi negeri dan negara. Dengan kata lain, perolehan kuasa lebih banyak kuasa kepada Kerajaan Negeri diperlukan bagi menunjukkan agenda dan perjuangan GPS mahukan suara dan hak rakyat Sarawak dipenuhi. Hal ini akan mampu mempengaruhi psikologi rakyat Sarawak untuk memberi sokongan kepada gabungan pemerintah, iaitu, GPS.
Perjuangan jangka Panjang
Hakikatnya penukaran gelaran itu tidak membawa perubahan signifikan dari segi bidang kuasa, sebaliknya hanya pembezaan antara Ketua Eksekutif di Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Bermakna ia sekadar perubahan status dan simbol daripada perubahan pertukaran negeri kepada wilayah. Namun, apabila penukaran (status) negeri kepada wilayah, Ketua Menteri kepada Premier, ia seolah-olah memenuhi sentimen yang cuba digerakkan oleh GPS, iaitu politik etnonasionalisme (politik bersifat kewilayahan) untuk menarik sokongan rakyat Sarawak.
Politik etnonasionalisme ini dimulakan secara khusus oleh Adenan Satem bagi memastikan sokongan berganda kepada kepimpinannya memandangkan pemerintahan Tun Taib Mahmud sekitar 30 tahun sukar ditangani dan terlalu panjang tempoh tersebut hingga menyebabkan sukar rakyat memisahkan sinomin jawatan Ketua Menteri dengan Tun Taib. Apabila politik etnonasionalisme dimainkan, khususnya tentang hak Sarawak dan perjanjian Malaysia, royalti minyak, kesemua ini menyebabkan peralihan perhatian rakyat Sarawak terhadap kepimpinan Adenan hingga menang besar pada PRN Sarawak 2016. Kemenangan inilah menjadi asas kepada Kerajaan Negeri yang lebih stabil dan membolehkan Abang Johari mengekal dan meningkatkan kemenangan dengan lebih baik lagi.
Lama-kelamaan, sudah tentu rakyat mahukan perubahan yang bukan sahaja bersifat simbol akan tetapi perubahan yang lebih realistik. Perubahan yang lebih besar perlu disusuli bagi mengelak kesan sementara atau jangka pendek sahaja. Terdapat 4 perkara utama yang harus diberi perhatian oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg.
Dana Kedaulatan Sarawak
Pertama adalah Dana Kedaulatan Sarawak yang disebut dalam PRN Sarawak tahun lalu, Cadangan dana itu yang diumumkan Abang Johari semasa kempen PRN Sarawak bertujuan memacu ekonomi dan mengukuhkan kewangan Sarawak, selain persediaan jika negeri itu kehabisan sumber petroleum. Dana itu dicadang untuk dilabur secara profesional bagi memberikan pulangan kepada negeri.
Ketua Menteri berjanji ketika kempen PRN Sarawak lalu, sekiranya beliau
Menang, maka akan ditubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat bagi mengumpul sejumlah simpanan dan hasil tersebut akan dilaburkan secara profesional kepada pengurusan dana antarabangsa yang akan memberi pulangan kepada masyarat belia sebagai langkah alternatif sekiranya hasil minyak dan gas kita kehabisan.
Peruntukan kewangan lebih besar
Perkara kedua adalah peruntukan kewangan yang lebih besar daripada Kerajaan Pusat, sesuai dengan perubahan status daripada negeri kepada wilayah dan Ketua Menteri kepada Premier, agar (perubahan ini) tidak dilihat hanya bersifat kosmetik semata-mata. Sewajarnya Sarawak mendapat peruntukan kewangan yang lebih besar sesuai dengan status wilayah yang menunjukkan betapa besarnya geografi Sarawak, ruang pembangunan yang perlu digerakkan dengan lebih banyak lagi. Sepatutnya sesuai dengan kedudukan baharu ini, isu peruntukan lebih besar sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menambahkannya tanpa perlu desakan dan tuntutan demi tuntutan yang perlu dilakukan.
Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen
Ketiga, Sabah dan Sarawak perlu merangkumi satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen untuk memastikan ia mempunyai suara kuat agar kepentingannya terpelihara dan tidak terpengaruh agenda politik di Semenanjung Malaysia. Sekiranya tuntutan ini dipersetujui oleh Kerajaan Pusat, maka Sarawak mampu menjadi negeri yang mempunyai kuasa tawar-menawar politik yang lebih kuat bagi menuntut perubahan dan pembangunan yang lebih baik. Semenanjung Malaysia tidak lagi dianggap sebagai abang besar dalam politik. Sebaliknya Sarawak, Sabah dan Semenanjung mempunyai kedudukan yang seimbang dan stabil untuk menentukan masa depan negara dan hala tuju yang lebih baik.
Kedaulatan dan keselamatan
Kerajaan negeri Sarawak perlu berani bersuara, bertindak tegas dan meminta Kerajaan Pusat bertindak balas terhadap China dengan mengancam untuk memboikot pelabur China ke Sarawak apabila dipercayai kapal milik Pengawal Pantai China (CCG) untuk sekian kalinya berani menceroboh perairan negara apabila kelihatan berlayar berhampiran sebuah pelantar minyak di Sarawak kerana ini adalah soal kedaulatan negeri. Sudah pasti, desakan supaya Kerajaan Pusat cepat-cepat bertindak menulis nota bantahan dan bersuara di medan antarabangsa agar isu ini mendapat perhatian dunia antarabangsa. Hal ini penting bagi mengelakkan ketakutan rakyat tempatan seperti menangkap ikan, menerokai sumber minyak dan memastikan kedaulatan Sarawak tidak boleh dikompromi oleh negara asing.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)