
KUCHING: Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang telah dibincangkan sejak bertahun-tahun lalu disifatkan sebagai satu ujian terhadap keupayaan negara membuat keputusan dasar yang tegas dan bertanggungjawab.
Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Jonathan Chai Voon Tok perbincangan mengenai UEC sering berakhir pada tahap ‘dalam kajian’ tanpa sebarang keputusan muktamad, termasuk ketika tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan apabila jawatankuasa khas tiga orang ditubuhkan bagi menilai kebolehlaksanaan pengiktirafannya.
“Jawatankuasa itu telah menghasilkan satu laporan, namun ia tidak pernah diterima atau diguna pakai. Ini menunjukkan masalah sebenar bukan kekurangan pilihan dasar tetapi ketiadaan ketegasan untuk membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa tahap akademik UEC bukan lagi isu baharu untuk dipersoalkan, memandangkan kelayakan tersebut telah lama diiktiraf oleh universiti di negara seperti China, United Kingdom, Australia dan Singapura.
“Institusi pengajian tinggi antarabangsa menilai kelayakan berdasarkan merit akademik. Pengiktirafan berterusan oleh universiti-universiti ini membuktikan kualiti UEC secara objektif,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian kepada kesan jangka panjang akibat kegagalan mengiktiraf UEC, khususnya kehilangan bakat muda tempatan.
Beliau berkata ramai lepasan sekolah menengah persendirian Cina terpaksa melanjutkan pengajian ke luar negara kerana kekangan laluan pendidikan dalam negara, dan sebahagian besar daripada mereka akhirnya membina kerjaya di luar Malaysia.
“Negara kehilangan bakat muda yang berkeupayaan pelbagai bahasa, berdisiplin serta mempunyai asas yang kukuh dalam bidang Sains dan Matematik,” ujarnya.
Mengulas kebimbangan bahawa pengiktirafan UEC akan membebankan Kerajaan atau menjejaskan sistem pendidikan sedia ada, beliau menegaskan perkara itu tidak berasas kerana sekolah menengah persendirian Cina sebahagian besarnya dibiayai oleh masyarakat dengan bantuan kerajaan yang terhad.
“Pengiktirafan UEC hanyalah langkah untuk memasukkannya ke dalam kerangka institusi pendidikan tinggi dan perkhidmatan awam secara terkawal dan munasabah,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya terdapat kebimbangan tertentu, Kerajaan masih mempunyai ruang untuk menetapkan syarat seperti penguasaan bahasa Malaysia, memperkenalkan program peralihan atau melaksanakan pengiktirafan secara berperingkat.
“Ini semua isu teknikal, bukan halangan dari segi prinsip,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengiktirafan UEC tidak seharusnya dilihat sebagai pemberian keistimewaan kepada mana-mana kumpulan, sebaliknya sebagai tindak balas rasional terhadap persaingan bakat yang semakin sengit.
“Isu ini telah lama dibincangkan dan implikasinya jelas. Apa yang diperlukan sekarang bukan penangguhan berterusan, tetapi keberanian untuk membuat keputusan yang bertanggungjawab demi masa depan negara,” katanya.