
PETRA JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah menghadiri majlis simbolik penyerahan Sumbangsih Gawai Dayak 2025 yang berlangsung di Tingkat 1, Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, malam tadi.
Menurut jurucakap JPJ Sarawak menerusi platform media sosial rasminya, majlis yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang akan menjalankan tanggungjawab sepanjang musim perayaan Gawai Dayak.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan anggota keselamatan serta penguat kuasa yang terus komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, khususnya semasa musim perayaan.
JPJ Sarawak diwakili oleh Timbalan Pengarahnya, Nor Azlan Ibrahim, dan Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan, Maya Morshidi.
Penyertaan JPJ Sarawak dalam majlis ini menunjukkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa dan kerajaan negeri dalam memastikan kelancaran perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.