
MIRI: Majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram menjadi platform penting dalam mengiktiraf pencapaian murid secara holistik merangkumi aspek akademik, sahsiah, kepimpinan, disiplin serta penglibatan kokurikulum.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata pengiktirafan sedemikian selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Menurutnya, kejayaan yang diraih murid-murid hari ini merupakan hasil usaha gigih, kesungguhan serta keazaman tinggi dalam menuntut ilmu, namun tidak seharusnya menjadi titik noktah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang.
“Jadikan pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk terus berusaha, kerana perjalanan menuntut ilmu masih panjang dan penuh dengan cabaran,” katanya ketika merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang SK Kuala Baram, di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan murid-murid yang belum menerima anugerah agar tidak berasa kecewa sebaliknya terus berusaha, meningkatkan disiplin serta memupuk sikap tidak mudah berputus asa.
Dalam pada itu, Kim Shin merakamkan penghargaan kepada barisan guru atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam mendidik serta membimbing murid-murid, selain mengiktiraf peranan ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pihak sekolah.
Katanya, kejayaan murid adalah hasil kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam memastikan perkembangan pendidikan anak-anak berjalan dengan baik.
Beliau berharap Majlis Hari Anugerah Cemerlang itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga SK Kuala Baram untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan serta melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
Oleh Liong Chai Ling