Pengiktirafan Anugerah Belia Sarawak bukti usaha kolektif JCI Sarikei

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN JCI Sarikei, Wong Siew Wu menerima hadiah naib johan kategori Pertubuhan dan Persatuan pada Anugerah Belia Sarawak 2026 yang diserahkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto JCI Sarikei

SARIKEI: Kejayaan Dewan Junior Antarabangsa (JCI) Sarikei meraih naib johan kategori Pertubuhan dan Persatuan pada Anugerah Belia Sarawak 2026 menjadi pengiktirafan terhadap usaha berterusan organisasi tersebut membangunkan kepimpinan belia dan memberi impak bermakna kepada komuniti.

Presiden JCI Sarikei, Wong Siew Wu berkata, pencapaian berkenaan bukan sekadar sebuah anugerah, sebaliknya mencerminkan dedikasi, kerja berpasukan dan sumbangan ramai pihak yang terus mempercayai misi organisasi tersebut.

“Pengiktirafan ini lebih daripada sekadar sebuah anugerah.

“Ia mencerminkan dedikasi, kerja berpasukan dan usaha yang tidak terkira daripada semua pihak yang terus mempercayai JCI Sarikei serta misi kami untuk membangunkan pemimpin muda, berkhidmat kepada komuniti dan mencipta impak yang bermakna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejayaan meraih naib johan dalam kategori berkenaan turut menjadi dorongan kepada JCI Sarikei untuk meneruskan usaha memperkasa golongan muda menerusi kepimpinan, khidmat masyarakat dan pelaksanaan program yang memberi manfaat.

Siew Wu turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan atas pengiktirafan dan galakan yang diberikan kepada JCI Sarikei menerusi Anugerah Belia Sarawak 2026.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii atas sokongan terhadap penyertaan JCI Sarikei.

“Galakan dan kepercayaan beliau terhadap JCI Sarikei memberikan kami keyakinan yang lebih besar sepanjang perjalanan ini. 

“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan,” katanya.

Siew Wu turut menghargai semua pihak yang membantu sepanjang proses berkenaan, daripada persediaan dan penyelarasan sehingga perkara kecil yang dilaksanakan di belakang tabir.

“Kepada keluarga JCI Sarikei, terima kasih atas setiap usaha, setiap sumbangan dan setiap detik kerja berpasukan. 

“Pengiktirafan ini adalah milik kita semua,” katanya lagi.

Tambahnya, pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada JCI Sarikei untuk terus berkembang, berkhidmat kepada masyarakat dan menghasilkan impak positif selaras dengan semangat ‘Membesar untuk Bersinar’.

Oleh Earl Anek