
SARIKEI: Penduduk rumah panjang di tiga daerah dalam kawasan jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor diingatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika membuat persiapan menyambut Hari Gawai Dayak pada 1 dan 2 Jun ini bagi mengelakkan kejadian kebakaran.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata sebanyak 388 rumah panjang berada di bawah kawasan operasi balai berkenaan, melibatkan 107 rumah panjang di Daerah Meradong yang didiami kira-kira 10,000 penduduk; 140 di Daerah Julau (10,000 penduduk) dan 141 di Daerah Pakan (13,000 penduduk).
Beliau berkata penduduk perlu memastikan pendawaian elektrik serta peralatan memasak seperti hos dan tong gas berada dalam keadaan baik, selain mengelakkan penggunaan soket atau sambungan wayar secara berlebihan.
“Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan kanak-kanak dan tidak membenarkan mereka bermain mercun atau bunga api berhampiran bahan mudah terbakar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selain itu, beliau berkata jawatankuasa rumah panjang juga perlu memastikan alat pemadam api mudah alih sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran.
Katanya pada 30 Mei 2023, sebelum sambutan Gawai Dayak, sebuah rumah panjang 15 pintu iaitu Rumah Selunsin, Sungai Maram, Jalan Beratok, Pakan terbakar kira-kira 80 peratus, mengakibatkan 76 penduduk terjejas. – Bernama