KUCHING: Suasana suram menyelubungi Dewan Suarah Kuching apabila ahli keluarga, orang ramai dan orang kenamaan hadir memberi penghormatan terakhir kepada jasad mendiang pahlawan negara Datuk Sarjan (B) Awang Raweng yang juga bekas anggota Iban Tracker, di sini semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion berkata, jasad mendiang disambut secara rasmi oleh pegawai tentera bersama beliau sendiri selaku wakil Kerajaan Sarawak pada 12.00 tengah hari.
Menurutnya, jasad mendiang akan diberi penghormatan terakhir mengikut upacara pengebumian negeri dan adat istiadat ketenteraan.
Katanya, upacara penghormataan terakhir semalam dibuka kepada orang ramai dan orang kenamaan bermula 1.30 petang.
“Jasad mendiang yang tiba dari Sri Aman ini ditempatkan di Dewan Suarah Kuching bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
“Upacara penghormatan terakhir esok (21 September) akan bermula 8.00 pagi hingga 11.00 pagi sebelum beredar ke Makam Pahlawan untuk pengebumian,” ujarnya.
Jaul berkata, mendiang merupakan seorang pejuang yang sangat berani dan mengorbankan keselamatan dirinya sendiri demi negara sepanjang pekhidmatannya sebagai Iban Tracker.
“Atas pengorbanan dan jasanya ini, Kerajaan Sarawak akan membincangkan bantuan lain yang diperlukan oleh waris mendiang sebagai mengenang jasa mendiang,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing dan mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Antara yang turut serta menyambut ketibaan jasad mendiang Awang adalah Panglima Tentera 3 Briged, Jeneral Dato Azhar Ahmad dan mantan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw yang juga Penasihat Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Oleh Akmal Adib Yusup