LABUAN: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan kini dalam proses perbincangan dengan pemimpin pusatnya untuk merayu agar Kementerian Pengangkutan membenarkan penghantaran kargo antarabangsa secara terus ke pulau bebas cukai itu tanpa perlu singgah di pelabuhan perantara bagi tujuan pemunggahan.
Presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, langkah itu tidak hanya memberi manfaat kepada pengeksport dan pengimport tempatan serta asing tetapi turut membantu menghidupkan semula kejayaan lampau Labuan sebagai syurga beli-belah bagi barangan berjenama yang berharga rendah.
Malah, katanya, ini juga dapat menarik pelabur untuk membuka kilang-kilang di wilayah tersebut, sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan serta menyumbang kepada ekonomi.
“Bagi merangsang semula ekonomi Labuan, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan perlu membenarkan penghantaran terus ke sini, sejajar dengan statusnya sebagai pulau bebas cukai serta pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa.
“Kami mahukan penghantaran terus kargo import dan eksport dari pelabuhan asal ke destinasi serta sebaliknya. Tiada sebab untuk kapal itu berhenti di pelabuhan perantara bagi tujuan pemunggahan yang hanya menyebabkan caj tambahan itu terpaksa ditanggung pengguna selain menaikkan harga barangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, semalam.
Laporan sebelum ini menyatakan sebuah kilang antarabangsa telah dipelawa oleh pihak berkuasa tempatan untuk membuka kemudahan itu di Labuan, namun cadangan itu dikekang oleh isu termasuk ketiadaan penghantaran terus ke pelabuhan destinasi.
Dalam pada itu, Suhaili berkata, DPMM Labuan mahu menjalin hubungan lebih erat dengan pemilik kapal dan pengendali maritim untuk memacu aktiviti-aktiviti ekonomi tempatan selain mengurangkan bebanan orang ramai berikutan kenaikan harga barangan.
Menurutnya, DPMM Labuan juga akan terus memainkan peranan sebagai pusat sehenti bagi skim bantuan serta insentif kerajaan kepada ahli serta usahawan tempatan selain bekerjasama dengan dewan-dewan perniagaan lain untuk menangani kegiatan ekonomi yang perlahan di pulau itu. – Bernama