
NIAH: Pembahagian masa yang seimbang serta penjagaan kesihatan merupakan asas penting dalam membentuk generasi muda yang berjaya dan berdisiplin.
Pada era digital yang serba moden ini, anak-anak perlu dididik untuk mengurus masa dengan bijak terutamanya dalam mengehadkan penggunaan telefon bimbit yang semakin menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian.
Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan khususnya untuk permainan dalam talian boleh menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran dan mengurangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Selain itu, ia juga boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan fizikal dan mental anak-anak, anak remaja dan belia.
“Masa belajar, bermain dan berehat perlu diatur dengan baik. Anak-anak perlu dididik untuk lebih menghargai aktiviti luar seperti bersukan, membaca dan melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan,” katanya.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Majlis Perasmian Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Datuk Rosey Yunus anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bekenu di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Saeh di sini hari ini.

Tambah beliau, kesedaran tentang kepentingan mengimbangi masa dan menjaga kesihatan perlu diterapkan sejak usia muda agar generasi akan datang membesar sebagai individu yang cemerlang, berdisiplin dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Tentang kejohanan bola sepak ini, kita akan mengadakannya setiap tahun ini untuk menjaga dan menjaminkan kesihatan para peserta di pertandingan ini.
“Penganjuran aktiviti sukan dilihat sebagai salah satu pendekatan berkesan dalam membendung gejala sosial khususnya penglibatan belia dalam aktiviti tidak sihat seperti judi dalam talian yang kian membimbangkan.
“Para belia bukan sahaja dapat mengisi masa lapang apabila melibatkan diri dengan kegiatan berfaedah seperti bersukan, malah mampu membina disiplin diri, semangat berpasukan serta gaya hidup sihat,” tegasnya lagi.
Turut hadir ialah Penghulu Epat Bakar, Pengerusi Pembangunan Zon Saeh Tuai Rumah (Tr) Christopher Banyong, Pengerusi Pengelola Pertandingan Tukau Alih Dan tuai-tuai rumah Zon Saeh.
Oleh Adum Liu