
KUCHING: Penghapusan rabies di Borneo menjelang 2030 hanya boleh dicapai melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerajaan, masyarakat dan kerjasama serantau.
Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menekankan perlunya memecahkan tembok antara sektor awam dan swasta, di samping meningkatkan kerjasama rentas sempadan terutama dengan Kalimantan.
“Kita perlu mengetuk dinding antara sektor awam dan swasta, bekerjasama secara tempatan, serantau dan global, khususnya menggunakan platform ASEAN.

“Dengan strategi yang baik, kita pasti boleh mencapai hasil yang memberangsangkan dalam mengurangkan insiden rabies,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Rabies di Borneo (RIB) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Beliau turut mendedahkan kajian genom mendapati virus rabies yang dikesan di Sarawak sejak 2017 berasal dari Kalimantan.
“Keperluan penggunaan kesihatan digital, aplikasi pintar dan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha pemantauan, ramalan dan pemetaan kawasan berisiko tinggi dengan lebih tepat.
“Dengan pemetaan geografi, kes dan perancangan vaksinasi strategik, saya yakin pada 2030 kita akan berjaya membasmi rabies di Borneo,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, turut menggesa pemilik anjing untuk mematuhi peraturan pelesenan.

“Pelesenan anjing bukan sekadar syarat undang-undang, tetapi alat penting untuk memantau status vaksinasi, mendorong pemilikan haiwan yang bertanggungjawab, serta mengawal populasi melalui program pengkasian.
“Rabies boleh dicegah 100 peratus, tetapi hanya jika semua pihak mengambil tanggungjawab.
“Ia bukan tugas kerajaan sahaja, tetapi melibatkan komuniti, pemilik haiwan, NGO, pasukan penguat kuasa dan rakan antarabangsa,” ujarnya.
Persidangan RIB 2025 telah dilancarkan secara rasmi hari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang mewakili Premier Sarawak.
Persidangan selama dua hari itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) dan Place Borneo Sdn Bhd dengan sokongan Business Events Sarawak (BESarawak).
Oleh Masrin Affirah