MIRI : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia lakukan Inisiatif dengan menyalurkan bantuan kewangan kepada penggiat industri pelancongan yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan di sini kelmarin.
Katanya, ini kerana dalam tempoh dua tahun ini semua penggiat industri pelancongan negara telah mengalami kerugian besar.
“Saya percaya dua tahun kebelakangan ini merupakan tempoh paling sukar yang mengakibatkan kerugian besar kepada semua penggiat industri pelancongan negara termasuklah yang berada di Miri.
“Pemberian inisiatif ini diharapkan dapat memberikan sokongan dan dorongan kepada penggiat industri pelancongan untuk kembali pulih seiring pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022 lepas,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong menambah, mana-mana syarikat pelancongan dan yang berkaitan perlu mendaftar dengan MOTAC untuk mendapatkan bantuan MOTAC Prihatin ini.
“Yang berdaftar dengan kita dan orang yang hendak memohon perlu mendaftar terlebih dahulu.
“Tetapi, yang ini (penerima) memang sudah ada dalam data MOTAC, sama ada mereka memohon atau tidak memang automatik mereka menerimanya,” katanya.
Sehubungan itu, seramai 16 orang penerima bantuan kewangan terpilih yang terdiri daripada lima Pemandu Pelancong, lima Syarikat TOBTAB, satu Syarikat MM2H dan lima pengusaha ‘homestay’.
Penerima yang menerima bantuan kewangan MOTAC Prihatin ini ialah Syarikat Pengendalian Pelancongan RM9,000, Pemandu Pelancong (TG) RM1,300, Syarikat Malaysia MySecond Home (MM2H) RM9,000, Spa dan Pusat Urutan Kaki RM3,000 dan Program Pengalaman Homestay Malaysia RM1,800.
Penyampaian Bantuan Kewangan kepada Penggiat Industri Pelancongan ini merupakan kali ketiga diadakan bagi tahun 2022 selepas majlis yang sama dianjurkan MOTAC di Johor dan Kuching, Sarawak.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembaban (Pelancongan) Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Saraya Arbi dan Penolong Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak Zurina Zainal Abidin Shah.
Oleh ADUM LIU