
JALUR Gemilang sebagai bendera rasmi negara Malaysia, bukan sekadar sehelai kain bercorak merah, putih, biru dan kuning, tetapi merupakan simbol kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional.
Ia mewakili perjuangan, kemerdekaan dan maruah seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Maka penggunaan jalur gemilang tidak boleh sewenang-wenangnya diperlakukan mengikut kehendak peribadi atau kreativiti yang melangkaui batas adab dan peraturan.
Persoalan yang sering timbul setiap kali menjelang bulan kemerdekaan ialah: adakah wajar Jalur Gemilang dijadikan bahan untuk busana seperti tudung, songkok, sampin, atau bahkan kasut?
Penggayaan Jalur Gemilang
Penggayaan busana berinspirasikan Jalur Gemilang sebenarnya harus digalakkan dan dianggap sebagai salah satu bentuk ekspresi semangat patriotik.
Namun begitu, penggunaan bendera fizikal yang sebenar sebagai bahan pakaian adalah tidak wajar, bertentangan dengan etika serta melanggar garis panduan rasmi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Aspek ini merupakan garis pemisah yang penting, namun seringkali diabaikan oleh masyarakat umum atas dasar ‘semangat cinta negara’.
Perbezaan antara inspirasi, eksploitasi
Dalam membincangkan isu ini, penting untuk membezakan antara reka bentuk berinspirasi Jalur Gemilang dan penggunaan fizikal bendera sebagai bahan jahitan pakaian.
Inspirasi bermaksud mengambil elemen tertentu daripada bendera seperti warna (merah, putih, biru dan kuning), atau motif seperti bulan dan bintang, lalu diterjemahkan ke dalam rekaan busana yang kreatif tetapi masih menghormati simbola salnya.
Sebaliknya, apabila seseorang menggunting bendera sebenar untuk dijadikan tudung, baju, seluar, atau alas meja, maka tindakan itu sudah dianggap mengeksploitasi dan mencemar maruah bendera negara.
Tindakan menggunakan bendera sebenar sebagai pakaian bukan sahaja bertentangan dengan norma kesopanan dan nilai patriotik, tetapi boleh juga mencetuskan kontroversi dan salah tafsir kalangan masyarakat, seolah-olah simbol negara telah dijadikan bahan hiasan tanpa sebarang sensitiviti terhadap makna yang terkandung di dalamnya.
Bayangkan bendera negara yang selama ini dikibarkan dengan penuh hormat di majlis rasmi, kini dipakai di tempat-tempat yang tidak sesuai, atau digunakan di bahagian bawah badan, yang secara simboliknya adalah penghinaan.

Niat baik tidak menghalalkan cara
Hakikatnya, niat yang baik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membenarkan sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Walaupun seseorang itu berhasrat menunjukkan kecintaan kepada negara melalui cara berpakaian, tetapi jika caranya tidak betul, ia tetap dikira salah dan tidak beretika.
Dalam konteks ini, aspek kesedaran dan kefahaman memainkan peranan besar. Justeru, masyarakat perlu dirujuk kepada garis panduan rasmi yang telah ditetapkan oleh kerajaan, khususnya oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), berkenaan penggunaan dan penggayaan Jalur Gemilang.
Maka setiap pereka fesyen, usahawan, dan individu awam sentiasa merujuk kepada garis panduan ini amat bertepatan dengan usaha untuk mengawal penyalahgunaan simbol negara.
Kita tidak boleh hanya bersandar pada kreativiti tanpa sempadan, apatah lagi jika ia membawa kepada pencemaran lambang negara yang suci dan dihormati.
Pendidikan dan kesedaran sejak awal
Antara punca berlakunya kekeliruan atau penyalahgunaan Jalur Gemilang ialah kurangnya pendidikan awal tentang etika penggunaan simbol negara.
Oleh itu, dicadangkan agar pendidikan sivik dan sejarah negara dipertegaskan agar dapat memperkasakan pemahaman pelajar tentang kedudukan bendera sebagai lambang rasmi negara yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Kesedaran ini sepatutnya sudah ada kerana sudah dipupuk sejak di bangku sekolah melalui kurikulum yang menekankan aspek simbol negara, semangat patriotik yang beradab, serta contoh-contoh penggayaan yang sesuai dan tidak sesuai.
Selain itu, peranan media massa dan media sosial juga tidak boleh dipandang ringan. Dalam era digital ini, pendekatan seperti video pendek, poster infografik dan kempen dalam platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook boleh dilipatgandakan lagi dan dimanfaatkan untuk mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, tentang cara betul dalam mengekspresikan semangat patriotik.
Kempen kreatif seperti #GayaPatriotikBeradab boleh diperkenalkan bagi mempopularkan penggayaan yang menghormati Jalur Gemilang, tanpa perlu menggunakan bendera sebenar.
Tindakan undang-undang dan teguran berhemah
Satu aspek penting yang sering diabaikan ialah peruntukan undang-undang berkaitan penggunaan lambang negara, termasuk Jalur Gemilang.
Di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, jelas disebut bahawa sebarang penggunaan tidak wajar terhadap lambang rasmi negara boleh dikenakan tindakan.
Perkara ini termasuklah penggunaan Jalur Gemilang dalam konteks yang dianggap menghina, memperlekehkan atau mempersendakan.
Namun, pendekatan berhemah diambil terlebih dahulu, terutamanya jika pelanggaran itu berpunca daripada kejahilan atau kekeliruan.
Pendidikan dan teguran yang beradab boleh memberi kesan jangka panjang yang lebih baik berbanding hukuman serta-merta. Tindakan undang-undang wajar dijadikan pilihan terakhir jika terdapat unsur penghinaan yang disengajakan atau berulang kali dilakukan walaupun setelah diberikan amaran.
Antara kebebasan berkreativiti, tanggungjawab moral
Dalam era moden ini, rakyat Malaysia diberi ruang yang luas untuk berkreativiti, termasuk dalam dunia fesyen dan seni visual. Namun, kebebasan ini perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab moral dan etika nasional.
Tidak semua perkara boleh dilakukan, patut dilakukan. Dalam konteks penggunaan Jalur Gemilang, kita perlu bertanya: adakah tindakan kita itu mengangkat maruah negara, atau sebaliknya merendahkannya?
Inilah yang perlu kita sedar. Kreativiti tidak semestinya terhad apabila garis panduan dihormati.
Sebenarnya, inilah cabaran kepada penggiat seni dan fesyen –mekanisme untuk menunjukkan semangat patriotik melalui rekaan yang indah, unik, dan pada masa sama mematuhi prinsip kesopanan serta etika kebangsaan.
Keindahan rekaan yang berasaskan inspirasi Jalur Gemilang sebenarnya lebih bermakna jika disampaikan dengan penuh rasa hormat terhadap lambang negara.
Kesimpulan
Jalur Gemilang bukanlah sekadar sehelai kain bercorak merah, putih, biru dan kuning. Ia adalah lambang perjuangan, kebebasan, perpaduan, dan maruah negara.
Dalam semangat menyambut bulan kebangsaan dan Hari Kemerdekaan serta Hari Malaysia, rakyat Malaysia digalakkan untuk menzahirkan semangat patriotik mereka.
Namun, ia harus dilakukan dengan penuh adab, tertib, dan menghormati simbol-simbol negara.
Penggayaan busana berinspirasi Jalur Gemilang adalah satu bentuk ekspresi kreatif yang boleh diterima, selagi ia tidak melibatkan penggunaan fizikal bendera sebenar.
Kreativiti harus digandingkan dengan pematuhan kepada garis panduan rasmi, pendidikan sivik yang menyeluruh, dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara yang cinta akan tanah air.
Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka, kitah arus sentiasa ingat bahawa bendera negara bukan sekadar simbol fizikal, tetapi juga lambang jiwa dan semangat perjuangan.
Maka, marilah kita bersama-sama menjaga kehormatannya dengan sebaik mungkin!
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)