
KUCHING: Kuching City FC telah mengambil kira kemungkinan risiko penggantungan pemain pertahanan Gabriel Palmero sebelum menjemput pemain tersebut menyertai pasukan itu.
Pengerusinya, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, perkara tersebut telah dibincangkan lebih awal bersama pemain berkenaan memandangkan keputusan berkaitan kes tujuh pemain warisan di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan FIFA ketika itu masih belum dimuktamadkan.
Menurut beliau, pelawaan kepada Palmero dibuat selepas pihak kelab menilai segala kemungkinan termasuk risiko sekiranya keputusan penggantungan dikenakan.
“Ketika kita mula berbincang untuk menjemput beliau ke Kuching City, kita sudah mengambil kira tentang risiko yang mungkin berlaku iaitu kemungkinan beliau akan mendapat tindakan hasil daripada keputusan CAS dan FIFA.
“Risiko itu telah dipertimbangkan dan pelawaan kami setimpal dengan risiko tersebut,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sumbangan Aidilfitri untuk golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penggantungan Palmero daripada beraksi dalam saingan Liga Malaysia selama 12 bulan.
Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, pemain berkenaan memahami situasi tersebut kerana perkara itu telah dibincangkan lebih awal antara kedua-dua pihak.
“Apabila perkara ini berlaku kita telah berbincang dengan beliau dan beliau faham. Beliau sentiasa bersemangat untuk memberi khidmat bakti kepada Kuching City pada masa akan datang.
“Kita juga menasihati beliau agar terus menjalani latihan kerana tempoh 12 bulan itu sebenarnya tidak lama,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan kesan terhadap perlawanan yang telah dilalui Palmero bersama pasukan, beliau menjelaskan bahawa penggantungan itu hanya berkuat kuasa bermula dari tarikh keputusan dibuat dan tidak melibatkan perlawanan sebelumnya.
“Sepanjang pengetahuan saya, penggantungan itu berkuat kuasa daripada tarikh keputusan tersebut dan tidak di ‘backdate’.
“Jadi ia tidak memberi kesan kepada perlawanan yang telah dimainkan sebelum ini,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, Palmero masih bersama pasukan ketika ini dan menjalani latihan bersama skuad utama sementara menguruskan perjalanan untuk pulang ke Sepanyol.
“Beliau masih bersama pasukan dan kita masih mengundang beliau untuk bersama-sama dengan pasukan utama sehingga tiba masa untuk beliau pulang ke Sepanyol ataupun ke Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pada itu, Fazzrudin turut memaklumkan bahawa rundingan kontrak bersama pemain tersebut telah mengambil kira segala kemungkinan termasuk sekiranya penggantungan berlaku.
“Ketika rundingan awal dibuat kita sudah mengambil kira semua perkara termasuk sekiranya perkara seperti ini berlaku.
“Jadi tiada permasalahan antara kami dan Palmero kerana perkara tersebut telah dibincangkan lebih awal,” katanya.
Beliau menambah bahawa kemungkinan untuk Palmero kembali bersama Kuching City FC selepas tamat tempoh penggantungan tetap berada dalam pertimbangan pihak kelab.
Oleh Shahrul Qaizat