GABORONE: Pihak berkuasa kesihatan Botswana semalam berkata penggantungan bantuan luar Amerika Syarikat (AS) serta-merta akan memberi kesan kepada sektor kesihatan negara di selatan Afrika itu, lapor Xinhua.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Botswana Christopher Nyanga berkata, jika penggantungan itu menjadi kekal, ia akan menjejaskan kemajuan sektor kesihatan, khususnya dalam usaha memerangi HIV/AIDS.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkembangan itu “tidak menjejaskan bekalan ubat antiretroviral kerana ia diperoleh secara langsung oleh Kerajaan Botswana”.
Menurutnya, kementerian akan mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Kedutaan AS, bagi mencari penyelesaian untuk meneruskan perkhidmatan yang terjejas.
Beliau turut berkata, selama ini Botswana menerima bantuan AS dalam sektor kesihatan, dan banyak pertubuhan masyarakat sivil tempatan yang dibiayai oleh AS telah diminta menghentikan operasi serta-merta.
Jabatan Negara AS membekukan hampir semua bantuan luar di seluruh dunia berkuat kuasa serta-merta selepas Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada 20 Januari untuk menangguhkan bantuan berkenaan selama 90 hari.
Menurut Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), 20.8 peratus penduduk Botswana berumur 15 hingga 65 tahun adalah positif HIV, bersamaan kira-kira 329,000 orang dewasa yang hidup dengan virus itu. – Bernama – Xinhua