Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Penggabungan MAVCOM ke dalam CAAM reformasi industri penerbangan
  • KOLUM

Penggabungan MAVCOM ke dalam CAAM reformasi industri penerbangan

Utusan Sarawak 5 days ago

BAGI kebanyakan individu, tarikh 1 Ogos 2025 mungkin berlalu seperti hari-hari biasa. Namun, bagi komuniti industri penerbangan, ia merupakan detik bersejarah yang menandakan perubahan besar dalam landskap kawal selia negara.

Pada hari tersebut, penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ke dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah berkuat kuasa secara rasmi.

Penggabungan ini menjadikan CAAM sebagai satu-satunya pengawal selia yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan ekosistem penerbangan awam negara yang merangkumi aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi.

Langkah ini merupakan hasil daripada pembentangan dua rang undang-undang (RUU) penting di Dewan Rakyat yang diluluskan pada 26 Jun 2024 iaitu RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024.

Seterusnya kedua-dua RUU ini mendapat kelulusan di Dewan Negara pada 30 Julai 2024 dan menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 11 September 2024 sebelum diwartakan secara rasmi dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 25 September 2024.

Inisiatif ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi kerajaan yang lebih luas.

Objektif utama penyatuan ini adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tadbir urus serta kawal selia penerbangan.

Selain itu, ia dapat menghapuskan pertindihan fungsi dan bidang kuasa antara dua agensi yang sering membawa kepada kerenah birokrasi, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih bersepadu, lancar dan efisien kepada industri penerbangan serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.

CAAM kini memikul tanggungjawab yang jauh lebih luas dan bersifat holistik.

Dengan pelaksanaan penyatuan ini, CAAM kini memikul tanggungjawab yang jauh lebih luas dan bersifat holistik.

Mandat baharunya tidak lagi terhad kepada aspek teknikal dan keselamatan yang menjadi teras fungsinya sebelum ini, tetapi kini diperluas untuk merangkumi seluruh spektrum peraturan ekonomi dan komersial yang sebelum ini di bawah kendalian MAVCOM.

Walaupun mengambil alih fungsi baharu, fungsi teras asal CAAM yang telah terbukti keberkesanannya dalam memastikan keselamatan ruang udara negara tetap dikekalkan dan diperkasakan sepenuhnya.

Fungsi-fungsi ini termasuk pensijilan iaitu proses pengesahan dan audit sistematik untuk memastikan pesawat, kru penerbangan, syarikat penerbangan, organisasi latihan dan fasiliti penyelenggaraan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Selain itu, fungsi pelesenan juga diteruskan. Perkara ini meliputi proses pengeluaran lesen yang sah kepada juruterbang, jurutera penyelenggaraan, pengawal trafik udara serta sijil pengendali udara kepada syarikat penerbangan, bagi memastikan mereka memiliki kelayakan, kompetensi dan keupayaan sumber yang diperlukan.

Di samping itu, CAAM terus menyediakan perkhidmatan navigasi udara yang kritikal, merangkumi operasi kawalan trafik udara, pengurusan sistem komunikasi dan radar serta perancangan strategik laluan penerbangan untuk menjamin pergerakan pesawat yang selamat, teratur dan cekap di ruang udara Malaysia yang semakin sibuk.

Perubahan paling menonjol dalam penstrukturan semula ini ialah pengambilalihan sepenuhnya fungsi kawal selia ekonomi dan komersial industri penerbangan oleh CAAM.

Sebelum penggabungan, penggiat industri sering berhadapan dengan cabaran berurusan dengan dua badan pengawal selia berbeza untuk aspek teknikal dan ekonomi.

Keadaan ini sering mewujudkan proses permohonan yang berlapis, rumit dan memakan masa, seterusnya menjejaskan kelangsungan perniagaan dan iklim pelaburan industri penerbangan.

Apabila CAAM menjadi pemegang mandat tunggal, agensi ini mempunyai keupayaan untuk merasionalisasikan proses yang boleh mengurangkan kerenah birokrasi dan menilai setiap permohonan secara holistik dengan mengambil kira kedua-dua perspektif teknikal dan komersial.

Laporan industri sebelum ini sering menekankan bahawa isu pertindihan bidang kuasa, khususnya dalam kelulusan hak trafik udara dan laluan penerbangan baharu, boleh menyebabkan proses permohonan mengambil masa terlalu lama.

Penyatuan di bawah satu bumbung dijangka memendekkan tempoh pemprosesan secara ketara sekali gus dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang lebih menarik dan kompetitif untuk pelaburan dalam sektor penerbangan.

Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta mengekalkan keyakinan semua pihak berkepentingan, satu tempoh peralihan yang kritikal telah dirancang dengan rapi.

Sepanjang tempoh ini, semua kod, peraturan dan garis panduan yang sebelum ini dikuatkuasakan oleh MAVCOM akan terus berkuat kuasa tanpa sebarang perubahan.

Hal ini termasuk instrumen penting seperti Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) yang melindungi hak penumpang serta pelbagai pekeliling operasi berkaitan peruntukan hak trafik udara dan caj penerbangan.

Langkah status quo ini penting untuk mengelakkan sebarang vakum dalam menguatkuasa peraturan atau kekeliruan dalam kalangan pemain industri dan pengguna.

Sebagai langkah proaktif, laman sesawang rasmi CAAM telah dinaik taraf secara berperingkat untuk mengintegrasikan borang dan platform digital bagi mengendalikan urusan pelesenan ekonomi, pengecualian dan pengawalseliaan lain.

Integrasi sistem digital ini bukan sahaja memudahkan proses permohonan dalam talian, tetapi juga mempercepatkan kitaran kelulusan, selaras dengan agenda pendigitalan perkhidmatan awam negara.

Tidak sekadar itu, penggabungan ini dijangka membawa beberapa manfaat yang ketara kepada penumpang.

Pertama, proses kawal selia yang lebih efisien dan kurang membebankan berpotensi menyumbang kepada penstabilan atau penurunan harga tiket penerbangan dalam jangka panjang.

Apabila kos pematuhan dan operasi syarikat penerbangan akibat kelewatan kelulusan dan birokrasi dapat dikurangkan, penjimatan ini berpotensi dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk tambang yang lebih kompetitif.

Kedua, mekanisme penyelesaian aduan pengguna kini menjadi lebih terpusat, jelas dan standard di bawah satu bumbung. Keadaan ini dapat menghapuskan kekeliruan tentang agensi mana yang perlu dihubungi.

Masa tindak balas terhadap aduan juga dijangka lebih pantas seterusnya meningkatkan tahap kepuasan dan keyakinan pengguna.

Ketiga, platform digital FlySmart yang dibangunkan oleh MAVCOM sebagai saluran aduan utama akan terus digunakan dan ditambah baik.

Bezanya kali ini, platform ini akan dipantau secara langsung oleh unit khas dalam CAAM bagi memastikan kesinambungan perlindungan hak pengguna tanpa gangguan.

Secara keseluruhan, langkah Malaysia menggabungkan fungsi pengawal selia penerbangannya menandakan satu gerakan strategik ke arah model pengawal selia tunggal, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Kebanyakan negara maju dengan industri penerbangan yang matang telah lama melaksanakan model ini dengan kejayaan yang terbukti.

Contohnya, Amerika Syarikat mempunyai Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang mengawal selia kedua-dua aspek keselamatan dan ekonomi.

Begitu juga Kesatuan Eropah dengan Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) dan negara jiran Singapura dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura(CAAS).

Entiti-entiti ini telah membuktikan bahawa sistem bersepadu mampu memudah cara pertumbuhan industri yang pesat sambil mempertahankan standard keselamatan dan perkhidmatan tertinggi.

Secara umumnya, boleh dinyatakan bahawa negara dengan model pengawal selia tunggal cenderung mempunyai indeks kecekapan pengawal selia yang lebih tinggi berbanding negara dengan sistem dwi-agensi.

Malaysia kini berkemampuan untuk berada di landasan yang tepat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan yang lebih kompetitif, mampan dan dinamik di rantau Asia Pasifik dengan struktur organisasi yang baharu dan diperkemas ini.

Pastinya tanggungjawab besar ini kini dipikul oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Dato Kapten Norazman Mahmud.

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri penerbangan termasuk sebagai juruterbang berpengalaman dan individu pertama di Malaysia yang disahkan untuk mengemudi pesawat Airbus A350.

Berdasarkan rekod kepimpinan serta kepakaran teknikal yang kukuh, beliau diyakini memiliki kelayakan untuk mengemudi CAAM bagi mencapai wawasannya menjadi pihak berkuasa penerbangan terkemuka di dunia.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Ajibah Abol dalam kenangan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.