- Jangan abai hak, keselamatan penerbangan
SEKTOR penerbangan Malaysia sedang melalui perubahan besar dengan penggabungan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Perkara ini dibahas dan dimuktamadkan pada 26 Jun lalu semasa dua rang undang-undang (RUU) utama dibacakan oleh Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat.
RUU yang pertama dibentangkan ialah RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU kedua pula ialah RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024. Namun, sekalipun penggabungan ini dijangka menjadi efektif seawal 1 Januari 2025, rata-rata orang awam apabila ditanya berkenaan MAVCOM, kewujudannya seperti tidak diketahui.
MAVCOM ditubuhkan pada 1 Mac 2016 dengan tujuan untuk mengawal selia aspek ekonomi dan komersial industri penerbangan awam di Malaysia. Badan ini diberi mandat untuk melindungi hak-hak pengguna penerbangan, memastikan persaingan yang adil dalam industri serta mengurus aduan pengguna.
Contohnya pada 2023, MAVCOM menerima lebih 2,000 aduan pengguna terhadap pelbagai syarikat penerbangan.
Aduan ini melibatkan isu-isu seperti kelewatan penerbangan, pengendalian bagasi yang tidak memuaskan dan kesukaran dalam proses mendapatkan bayaran balik.
Sepanjang tempoh hampir lapan tahun MAVCOM berjaya mengurus lebih daripada 45,000 aduan dengan kadar penyelesaian melebihi 90 peratus secara purata. Selain itu, MAVCOM juga bertanggungjawab dalam pengagihan hak trafik udara dan pengeluaran lesen perkhidmatan udara, bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi dalam sektor penerbangan.
Namun selain peranan tersebut, MAVCOM juga memainkan peranan penting dalam pemgeluaram lesen untuk syarikat penerbangan dan pengendali aerodrome.
Perkara ini termasuk memastikan bahawa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Batik Air dan lain-lain mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan dalam hal keselamatan, ekonomi dan teknikal yang ketat sebelum diberikan lesen operasi.
MAVCOM turut memantau dan menilai kepatuhan terhadap peraturan dalam pengoperasian lapangan terbang di seluruh negara. Contohnya kebanyakan lapangan terbang di Malaysia diserahkan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selain Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd.
Walaupun MAVCOM telah memainkan peranan penting dalam melindungi hak-hak pengguna dan memastikan persaingan yang adil, kerajaan memutuskan untuk membubarkan MAVCOM dan menggabungkannya dengan CAAM.
Keputusan ini didorong oleh keperluan untuk mengoptimum sumber manusia dan kewangan sertau untuk mengurangkan pertindihan fungsi yang menyebabkan birokrasi dan keberkesanan dalam pengendalian industri penerbangan.
Pembubaran MAVCOM dan penggabungannya dengan CAAM akan membawa beberapa kesan penting terhadap industri penerbangan dan struktur pengawalseliaan di Malaysia.
Semua fungsi pengawalseliaan MAVCOM, termasuk pengurusan lesen perkhidmatan udara, perlindungan pengguna dan pengawasan persaingan akan dipindahkan kepada CAAM.
Hal ini akan menyatukan pengawalseliaan teknikal dan ekonomi di bawah satu entiti tunggal yang diharapkan dapat mengurangkan karenah sistem dan mempercepatkan proses pengurusan dalam industri penerbangan.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa pembubaran MAVCOM mungkin mengurangkan fokus terhadap perlindungan hak pengguna kerana MAVCOM sebelum ini memainkan peranan penting dalam mengurus aduan pengguna dan menguatkuasakan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia. Bagi menangani hal ini, pihak kerajaan telah memberikan jaminan bahawa fungsi-fungsi ini akan tetap diteruskan oleh CAAM.
Selain itu, penggabungan ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos pentadbiran kerajaan, dengan menjimatkan perbelanjaan operasi yang berkaitan dengan pentadbiran dua entiti berasingan.
Selepas bergabung, CAAM yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang dinaiktaraf pada 2018 untuk menjadi badan pengawalselia yang lebih autonomi di bawah Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017, dijangkaakan mengalami perkembangan yang ketara untuk menangani peranan dan tanggungjawab yang semakin meningkat.
Dengan penyatuan ini, CAAM akan memperluas peranannya daripada hanya fokus kepada keselamatan penerbangan seperti pengawasan keselamatan penerbangan, pensijilan pesawat dan kakitangan, kawalan trafik udara serta penguatkuasaan standard keselamatan penerbangan kepada pengawalan aspek ekonomi yang memberikan mandat pengawalseliaan yang lebih komprehensif.
Bagi menguruskan peningkatan beban kerja, CAAM dijangka perlu menambah tenaga kerja tambahan yang mempunyai kepakaran dalam bidang seperti pengawalseliaan ekonomi, undang-undang dan perlindungan pengguna serta meningkatkan latihan bagi kakitangan sedia ada untuk mengendalikan tanggungjawab baru.
Pengembangan tenaga kerja ini akan membantu CAAM menguruskan peranannya yang semakin kompleks dalam pengawasan keselamatandan pengawalan ekonomi.
Pada masa sama, CAAM mungkin perlu melabur dalam teknologi canggih untuk pengurusan data, pemantauan dan penguatkuasaan.
Hal ini termasuk meningkatkan infrastruktur IT untuk menguruskan jumlah data dan transaksi yang meningkat akibat pengawalseliaan ekonomi serta melaksanakan alat lebih canggih untuk pengawasan dan pematuhan.
Disebabkan pengambilalihan fungsi perlindungan pengguna MAVCOM, CAAM perlu memperluas keupayaan dalam menguruskan aduan pengguna, memastikan layanan adil dan menguatkuasakan hak pengguna dalam sektor penerbangan.
Mungkin perkara ini boleh melibatkan penubuhan unit atau pasukan khas dalam CAAM yang fokus kepada isu-isu berkaitan pengguna.
Perlu diketahui, peranan utama CAAM adalah untuk memastikan bahawa semua operasi penerbangan di Malaysia mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Oleh itu, sebarang gangguan dalam tempoh peralihan dan setelah penggabungan terhadap pengurusan keselamatan penerbangan boleh memberi kesan besar kepada kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Disebabkan itu CAAM mesti memastikan bahawa dalam menguruskan tanggungjawab yang semakin bertambah, aspek keselamatan tidak dikompromikan.
Hal ini amat penting memandangkan CAAM telah melalui pengalaman diturunkan taraf kepada Kategori 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada 2019, sebelum kembali ke Kategori 1 pada 2022 selepas melakukan penambahbaikan dalam aspek teknikal dan latihan.
Maka diharapkan penggabungan MAVCOM dan CAAM dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya saing dan pematuhan keselamatan yang berterusan dalam sektor penerbangan negara.
* Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.