KUALA LUMPUR: Keupayaan memahami dengan mendalam sektor perbankan dan kewangan telah memberikan rangsangan kepada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk moratorium enam bulan bagi manfaat rakyat, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Kewangan itu berkata meskipun ada cakap-cakap belakang semasa hari-hari awal pelantikan beliau apabila orang mengatakan beliau akan hanya lebih menumpukan kepada sektor kewangan berikutan kedudukannya sebagai bekas jurubank, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Sebahagian besar kerjaya saya adalah sebagai jurubank tetapi apa yang penting sekarang adalah bagaimana untuk membantu rakyat Malaysia. Pemahaman saya tentang bank, keupayaan mereka dan inisiatif yang mereka boleh ambil nampaknya menjadi satu kelebihan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif semalam.
Tengku Zafrul berkata, pengalaman beliau telah membolehkannya dapat berkomunikasi dengan lebih baik bersama rakan-rakan jurubanknya bagi memastikan inisiatif terbaik diberikan semasa tempoh sukar yang dihadapi rakyat Malaysia.
Semasa ditanya mengenai moratorium pendekatan bersasar, beliau berkata apabila inisiatif itu diumumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin (PRIHATIN), kira-kira 7.7 juta orang termasuk mereka yang tidak terkesan dari segi kewangan disebabkan pandemik Covid-19 telah mengambilnya.
“Bagi pendekatan bersasar, kami menganggarkan kira-kira tiga juga rakyat Malaysia bakal mendapat manfaat daripadanya termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan serta gaji dipotong,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, lebih 83.5 peratus atau 12.7 juta pekerja telah kembali bekerja.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata meskipun ekonomi sedang berada di landasan pemulihan dan sebahagian besar rakyat Malaysia telah kembali bekerja, senario positif ini tidak merangkumi semua sektor.
“Saya faham ada perniagaan yang masih belum dapat beroperasi sepenuhnya dan ada mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
“Justeru, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan moratorium bagi mereka yang paling patut menerimanya selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia,” kata Muhyiddin semalam semasa mengumumkan lanjutan moratorium dan pendekatan bersasar. – Bernama