
SIBU: Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat selagi khidmatnya masih diperlukan, meskipun tempoh perkhidmatannya kini menghampiri penghujung.
Menurut beliau, sejak dilantik menerajui MDLBS sembilan tahun lalu, pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan di kawasan luar bandar termasuk di Sibu Jaya, Selangau, Tebing Barat Sibu, Durin dan Menyan.
“Saya berbesar hati kerana masih diberi kepercayaan untuk menyambung perkhidmatan sebagai Pengerusi MDLBS. Walaupun tempoh perkhidmatan saya akan berakhir pada Mac 2026, saya akan terus berkhidmat sepenuh hati selagi diperlukan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Upacara Gawai Sandau Hari di Rumah Bunsie Tiboh, Jalan Salim-Belalang, di sini hari ini.
Menurutnya, khidmat kepada rakyat tidak seharusnya bergantung kepada jawatan, sebaliknya perlu diteruskan dalam apa jua kapasiti demi kemajuan masyarakat.
Katanya, MDLBS meliputi kawasan lebih 5,000 kilometer persegi yang memerlukan usaha berterusan dan komitmen tinggi bagi memastikan setiap komuniti mendapat perhatian sewajarnya.
“Saya sentiasa mengingatkan ahli majlis agar kerap turun padang. Kita mesti dekat dengan rakyat untuk memahami permasalahan mereka,” ujarnnya.
Dalam pada itu, Sempurai turut mengajak generasi muda agar memelihara adat dan budaya warisan seperti Gawai Sandau Hari yang disifatkan memiliki nilai spiritual dan semangat kekitaan tinggi dalam kalangan masyarakat Iban.

“Ini bukan soal agama, tetapi soal adat dan tradisi. Kita harap generasi muda mempelajari dan meneruskan amalan ini supaya ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau menjelaskan, penganjuran Upacara Gawai Sandau Hari kali ini juga bersempena dengan perlantikan semula beliau sebagai Pengerusi MDLBS pada April lalu.
“Kadangkala kita perlukan sesuatu seperti ini untuk memperkukuh semangat kita dalam berkhidmat kepada masyarakat. Upacara ini juga sebagai doa kesejahteraan keluarga,” katanya.
Sempurai turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, serta wakil-wakil agensi dan majlis daerah lain yang hadir memberi sokongan terhadap penganjuran majlis tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan kesediaannya menghadapi cabaran politik termasuk pemilihan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dijadualkan Oktober ini serta Pilihan Raya Negeri yang mungkin menyusul.
“Apa yang penting, kita akan terus berkhidmat. Rakyat akan menilai, dan selagi diberi kepercayaan, saya akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” tegasnya.
Oleh Tarani Lanting