


NEW DELHI: Gopichand Hinduja, seorang daripada individu terkaya di Britain yang keluarganya memiliki kepentingan perniagaan besar di India, meninggal dunia di London pada Selasa pada usia 85 tahun selepas sekian lama sakit.
Pemimpin perniagaan dan ahli politik terkemuka India menyampaikan ucapan takziah atas pemergiannya.
“Melalui kepemimpinannya yang luar biasa, Kumpulan Hinduja telah menjadi lambang keusahawanan India dan kecemerlangan global,” kata ahli perniagaan bilionair yang juga Ahli Parlimen, Naveen Jindal.
Jindal menyifatkan Gopichand sebagai “seorang usahawan berwawasan, pemimpin global dan anak watan India yang membanggakan.”
Ketua Menteri Andhra Pradesh Chandrababu Naidu berkata tokoh korporat itu berperanan penting dalam mengubah perniagaan keluarganya menjadi sebuah konglomerat global.
“Di bawah kepimpinannya, pelbagai kejayaan besar dicapai – daripada pengambilalihan Gulf Oil pada 1984 hingga kebangkitan semula Ashok Leyland. Beliau juga memimpin kemasukan kumpulan itu ke sektor tenaga dan infrastruktur,” kata Naidu.
Gopichand dilantik sebagai pengerusi konglomerat itu selepas abangnya, Srichand Hinduja, meninggal dunia pada Mei 2023.
Keluarga Hinduja, dilaporkan memiliki kekayaan bernilai £35.3 bilion (AS$46.1 bilion) menurut Sunday Times Rich List.
Kepentingan kumpulan itu di India merangkumi sektor perbankan, kenderaan komersial, penjagaan kesihatan, hartanah, tenaga serta media dan hiburan.
Ashok, anak bongsu kepada pengasas kumpulan, Parmanand Deepchand Hinduja, mengetuai operasi keluarga itu di India.
Kumpulan Hinduja menyelesaikan pertikaian kuasa dalaman pada 2022. Tahun lepas, sebuah mahkamah di Geneva mensabitkan empat ahli keluarga itu, termasuk abang Gopichand, Prakash, atas kesalahan mengeksploitasi pekerja domestik yang dibawa terus dari India untuk bekerja di rumah agam mereka di Tasik Geneva.- Bernama