
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini telah menerima dan diperkenalkan kepada pegawai pengiring rapat yang baharu bertugas di Astana Negeri Sarawak.
Majlis pengenalan rasmi yang berlangsung pada 1.30 tengah hari tadi diadakan di kediaman rasmi Tun Wan Junaidi di Petra Jaya. Pegawai pengiring rapat baharu tersebut terdiri daripada 12 anggota polis, merangkumi tujuh lelaki dan lima wanita.
Dalam ucapan ringkas, Tun Wan Junaidi menasihati para pegawai pengiring agar sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.

Tun Wan Junaidi menegaskan kepentingan pematuhan protokol, disiplin, integriti, serta menjaga kerahsiaan dalam menjalankan tanggungjawab harian.
Tun Wan Junaidi turut menekankan bahawa pegawai pengiring rapat merupakan barisan hadapan dalam memastikan keselamatan serta kelancaran pelaksanaan tugas rasmi beliau dan Toh Puan Fauziah.
Justeru, hubungan kerja yang baik, harmoni, dan saling menghormati antara semua pegawai adalah kunci kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan berkesan. -Astana Negeri Sarawak