
KUCHING: Sarawak telah mengambil langkah strategik dalam usahanya untuk menjadi hab perdagangan serta logistik serantau terkemuka dengan pertukaran Perjanjian Subpajakan dan Tambahan untuk Lot 83 dan Lot 312 antara Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB) serta Samalaju Port Authority (SPA).
Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) melalui satu kenyataan hari ini berkata majlis pertukaran itu, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sarawak untuk Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi, menandakan peristiwa penting dalam pengembangan Samalaju Industrial Port.
Peruntukan tanah ini akan membolehkan SIPSB mengembangkan kapasiti pelabuhannya selain mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam rantaian bekalan global sambil menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) negeri tersebut.
“Upacara hari ini bukan sekadar pertukaran perjanjian, ia adalah hasil daripada perancangan yang teliti, perkongsian strategik dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
“Pembangunan Samalaju Industrial Port sebagai fasiliti air dalam selalu dibayangkan untuk memainkan peranan penting dalam melayani logistik dan keperluan industri eksport-import di sekitarnya,” kata Majang pada majlis tersebut.
SIPSB adalah pelabuhan air dalam yang dibina bagi melayani Samalaju Industrial Park, yang direka secara strategik bagi menyokong industri berat dan pasaran eksport global.
Pelabuhan itu memainkan peranan penting dalam mengukuhkan landskap perindustrian Sarawak, menyediakan penyelesaian logistik yang cekap dan lestari.
Peruntukan Lot 83 dan 312 menyediakan SIPSB dengan peluang untuk mengadakan kemudahan baharu, zon bebas dan penyelesaian logistik moden, yang membolehkan sambungan global yang lancar kepada para pelabur, peniaga dan pengilang.
Pengembangan ini juga akan meletakkan Sarawak untuk memanfaatkan peluang baru muncul dalam tenaga boleh baharu, petrokimia dan pembuatan termaju bagi mendorong negeri itu ke arah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
BPHB berkata kerjasama antara SIPSB dan SPA mencerminkan kekuatan perkongsian awam-swasta dalam memacu pembangunan yang bermakna sambil memastikan Sarawak tetap berdaya saing dalam perdagangan global.
Pada masa yang sama, ia juga membuat kemajuan dalam inisiatif zon bebasnya di pelabuhan Samalaju dan pelabuhan Bintulu, dengan Fasa 1 Samalaju mendapat sokongan dari Unit Perancangan Ekonomi dan proses pengawalseliaan yang sedang dijalankan dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Malaysia.
Menurut BPHB, zon bebas itu akan berfungsi sebagai hab hijau masa depan untuk industri, selaras dengan agenda kemampanan Sarawak.
Kumpulan berkenaan juga telah memeterai perjanjian memorandum dengan peneraju global bagi meneroka peluang hidrogen, gas asli biocecair dan bioethanol di kedua-dua pelabuhan tersebut.
“Usaha-usaha ini menggariskan komitmen kumpulan untuk mengubah pelabuhannya menjadi platform bagi tenaga boleh baharu dan pertumbuhan yang mampan, pada masa yang sama, meletakkan Sarawak sebagai hab serantau yang kompetitif,” kata BPHB. — Bernama