
KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia menurun sebanyak 37.3 peratus kepada 18,008 tan pada April 2025 daripada 28,739 tan pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 15.6 berbanding 21,325 tan pada April 2024.
“Pengeluaran getah asli Malaysia pada April 2025 sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor pekebun kecil (86.0 peratus) berbanding sektor estet (14.0 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai jumlah stok, Mohd Uzir berkata ia telah menurun sebanyak 6.7 peratus kepada 203,728 tan pada April 2025 berbanding 218,253 tan pada Mac 2025, dengan kilang pemproses getah menyumbang 87.6 peratus daripada jumlah stok, diikuti oleh kilang pengguna getah (12.3 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
Beliau berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 35,901 tan pada April 2025, susut sebanyak 31.7 peratus berbanding Mac 2025 (52,531 tan).
“China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, merangkumi 33.3 peratus daripada jumlah eksport pada April 2025, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (14.9 peratus), Jerman (14.2 peratus), India (6.5 peratus) dan Amerika Syarikat (AS) (5.1 peratus),” katanya.
Beliau menambah prestasi eksport itu disumbangkan oleh produk-produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.
Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.1 bilion pada April 2025, turut sebanyak 19.2 peratus berbanding Mac 2025 (RM1.3 bilion).
Sementara itu, DoSM melaporkan harga purata bulanan lateks pekat mencatat penurunan 7.0 peratus (April 2025: 647.20 sen sekilogram; Mac 2025: 696.05 sen sekilogram), manakala harga sekerap turun sebanyak 15.8 peratus (April 2025: 641.27 sen sekilogram; Mac 2025: 761.92 sen sekilogram).
Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula menurun antara 6.9 peratus hingga 13.5 peratus.
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran April 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur mengalami trend penurunan dan pemulihan yang bercampur-campur sepanjang April, dipengaruhi oleh isyarat yang tidak menentu daripada pasaran hadapan getah serantau sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan dasar perdagangan AS.
“Sentimen pasaran kekal lemah di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan dan ketegangan perdagangan China-AS yang semakin meningkat, di samping ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS serta kemerosotan harga minyak mentah secara langsung menjejaskan sentimen,” tambahnya.– Bernama