JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin pengeluaran beras putih tempatan di seluruh negara dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT).
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata menerusi program itu, kementerian telah mengambil beberapa langkah intervensi termasuk meminta pengilang meningkatkan 20 peratus bekalan beras putih tempatan di pasaran bagi penyelesaian jangka pendek.
Beliau berkata, beberapa sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam industri padi dan beras negara juga akan diadakan Khamis ini bagi membincangkan mengenai kaedah dan mekanisme untuk memulihkan pengeluaran beras.
“Menerusi sesi libat urus itu, KPKM akan menerangkan kaedah dan mekanisme berkaitan bekalan beras tempatan negara, meliputi penyelesaian bagi jangka masa sederhana dan panjang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai strategi kementerian bagi memulihkan pengeluaran beras putih tempatan negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau bekalan beras putih tempatan di Giant Tampoi di sini, hari ini.
Mohamad berkata, inisiatif yang dilaksanakan kementerian sebelum ini seperti Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan, dijangka akan dapat membantu memulihkan pengeluaran beras tempatan.
Beliau berkata, ini adalah kerana projek Smart SBB tersebut mampu mengeluarkan hasil yang memberangsangkan iaitu sebanyak 11 metrik tan padi beras bagi satu hektar sawah.
Setakat ini, katanya, bekalan beras putih tempatan mencukupi dengan kawalan harga kekal RM2.60 sekilogram sejak 2008, sekali gus menjelaskan usaha kementerian memulihkan pengeluaran beras itu adalah berikutan permintaannya yang meningkat, susulan peningkatan harga beras import.
Ditanya mengenai 95 peratus orang tengah mengawal penghasilan padi negara pula, beliau berkata ia tidak benar dan hanya sekadar dakwaan sahaja.
Sementara itu, Mohamad mengulangi bahawa KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa bekerjasama untuk membanteras isu penukaran label kampit beras, yang sebelum ini dilapor dilakukan bagi memanipulasi harganya di pasaran.
“Perkara ini sedang ditangani. Pihak kawal selia padi beras negara bertindak dan sentiasa mengawasi. Insya-Allah, sekarang ia dalam kawalan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah mengikut akta sedia ada,” katanya. – Bernama