Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Pengehadan penggal jawatan PM kematangan demokrasi?
  • KOLUMNIS

Pengehadan penggal jawatan PM kematangan demokrasi?

Utusan Sarawak 1 day ago

MENGEHADKAN penggal jawatan Perdana Menteri wajar dibaca dalam kerangka reformasi yang lebih luas, dan bukan dilihat semata-mata melalui lensa elektoral yang sempit.

Daripada sudut politik, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan gabungan prinsip dan pragmatisme meskipun di negara Amerika Syarikat, Perancis dan Indonesia sudah lama memperkenalkan pengehadan dua penggal jawatan.

Pada terasnya, had dua penggal selari dengan agenda reformasi jangka panjang Pakatan Harapan (PH) untuk memperkukuh institusi demokrasi, mencegah penumpuan kuasa secara berlebihan dan pernah mengalami pemerintahan terlalu lama, mahu menutup ruang autoritarianisme serta menormalisasikan pembaharuan kepimpinan.

Kesemua ini mahu menjadikan reformasi institusi sebagai simbol kematangan demokrasi.

Pada masa sama, langkah ini tidak dapat dinafikan mempunyai resonans politik dalam kalangan pengundi bandar dan kelas menengah, termasuk pengundi Cina, yang meletakkan nilai tinggi terhadap mekanisme semak dan imbang institusi, ketelusan dan reformasi tadbir urus.

Namun, mengurangkan langkah ini semata-mata sebagai strategi pilihan raya adalah terlalu sinikal. Dalam konteks Malaysia, di mana tempoh pemerintahan yang panjang secara sejarahnya membentuk dominasi politik, penzahiran had yang jelas merupakan satu anjakan norma yang signifikan.

Persepsi awam dan sikap skeptikal

Memandangkan sejarah politik Malaysia, sikap skeptikal dalam kalangan rakyat adalah sesuatu yang dapat difahami.

Pengumuman semata-mata tidak akan serta-merta mengubah persepsi pengundi terhadap akauntabiliti.

Kredibiliti hanya akan benar-benar terbina apabila cadangan ini diterjemahkan ke dalam undang-undang dan dimaktubkan melalui perlindungan perlembagaan atau perundangan.

Sehingga itu, ramai pengundi akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Bagaimanapun, dengan meletakkan komitmen ini secara jelas dalam rekod awam, satu penanda aras baharu telah diwujudkan untuk menilai pemimpin masa hadapan – dan ini dengan sendirinya mengubah wacana politik.

Implikasi peralihan kepimpinan merentas gabungan

Had penggal yang formal akan membawa implikasi besar terhadap dinamika kepimpinan dalam semua gabungan utama.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, ia menggalakkan perancangan penggantian kepimpinan yang lebih awal dan tersusun, sekali gus mengurangkan perebutan kuasa bersifat peribadi serta menepis mitos bahawa hanya seorang individu sahaja yang tidak boleh diganti pada sesuatu masa.

Bagi pihak pembangkang, khususnya Perikatan Nasional, ia menimbulkan persoalan yang kurang selesa tentang pembaharuan kepimpinan, demokrasi dalaman dan mekanisme penggantian — isu-isu yang sering ditangguhkan, bukan diselesaikan.

Tekanan terhadap pembangkang

Dalam keadaan PN yang kini melalui proses penyesuaian semula kepimpinan, pengumuman reformasi oleh Anwar meningkatkan tekanan ke atas pembangkang untuk merangka dan menyatakan agenda reformasi institusi mereka sendiri dalam konteks penstrukturan semula PN.

PAS dan Bersatu mungkin bertindak secara berhati-hati. PAS, dengan hierarki kepimpinan yang kukuh dan penekanan terhadap kesinambungan, mungkin kurang cenderung menyokong had penggal yang ketat.

Bersatu pula, yang masih bergelut dengan isu legitimasi kepimpinan dan kelangsungan politik, mungkin menghadapi kesukaran untuk mengemukakan cadangan balas yang koheren.

Namun, sikap berdiam diri atau penentangan berisiko mengukuhkan persepsi bahawa PN kekurangan naratif reformasi yang meyakinkan.

Signifikan elektoral berbanding kebimbangan ekonomi

Dari sudut pilihan raya, had dua penggal berkemungkinan bukan isu tunggal yang menentukan pilihan kebanyakan pengundi. Isu-isu asas kehidupan—kos sara hidup, gaji, inflasi dan kestabilan ekonomi—akan terus mendominasi keutamaan rakyat.

Namun begitu, reformasi institusi seperti had penggal berfungsi sebagai langkah pembinaan kepercayaan.

Apabila digabungkan dengan prestasi ekonomi yang nyata—seperti kestabilan mata wang yang lebih baik, inflasi terkawal dan pertumbuhan yang mampan—ia memperkukuh kredibiliti keseluruhan kerajaan serta imej reformasinya.

Daripada perspektif nasional cadangan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri wajar dilihat sebagai sebahagian daripada agenda reformasi demokrasi yang lebih menyeluruh, dan bukannya sebagai taktik politik yang terasing.

Kesan sebenar cadangan ini bergantung pada keazaman politik, kesinambungan perundangan, serta usaha selari untuk memperkukuh literasi politik, pembangunan kepemimpinan dan integriti institusi.

Reformasi tidak berjaya melalui pengumuman semata-mata, tetapi melalui pelaksanaan yang konsisten dan berprinsip, disokong oleh penglibatan awam serta prestasi yang meyakinkan.

Perspektif Sarawak

Persoalan sama ada Sarawak wajar mempertimbangkan pengenalan had penggal bagi jawatan Premier, susulan petunjuk Perdana Menteri bahawa Rang Undang-Undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dijangka dibentangkan tahun ini perlu dilihat dalam konteks tadbir urus yang lebih menyeluruh.

Bagi sebuah negara seperti Malaysia, had dua penggal secara prinsipnya merupakan amalan yang sihat dan munasabah.

Ia menggalakkan pembaharuan kepimpinan, mencegah penumpuan kuasa secara berlebihan, serta mencerminkan kematangan institusi demokrasi.

Namun demikian, had penggal bukanlah penyelesaian mutlak. Ia mesti disertai dengan pengukuhan literasi politik yang bermula sejak peringkat sekolah dan diperkasakan melalui institusi pengajian tinggi serta institusi sosial utama.

Tanpa asas ini, reformasi berisiko menjadi simbolik semata-mata, bukan substantif.

Pengalaman lampau

Pada masa sama, proses pelapis dan peralihan kepimpinan perlu dirancang dengan lebih sistematik dan berkesan.

Antara cabaran besar dalam budaya politik kita ialah mitos berterusan bahawa hanya seorang individu sahaja yang layak memimpin pada sesuatu zaman.

Pemikiran ini perlu dikikis. Institusi mesti lebih kukuh daripada individu, dan kepimpinan harus difahami sebagai tanggungjawab kolektif yang boleh diperbaharui secara berkala.

Pengalaman mutakhir juga menunjukkan bagaimana persepsi sering kali mengelirukan. Ketika Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, wujud naratif meluas yang meramalkan kemerosotan ekonomi.

Namun realitinya, kita menyaksikan ringgit semakin stabil dan menunjukkan pemulihan, inflasi lebih terkawal, serta pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan.

Kenyataan ini membuktikan bahawa prestasi kepimpinan perlu dinilai berdasarkan bukti dan hasil sebenar, bukan propaganda berasaskan ketakutan atau naratif yang berpusatkan personaliti.

Jangkaan impak terhadap tadbir urus

Sama ada reformasi seperti had penggal benar-benar mampu memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan pembaharuan kepimpinan di peringkat negeri, akhirnya bergantung kepada kemahuan politik.

Komitmen serta kesediaan pemimpin, di samping budaya dalaman parti politik, merupakan faktor penentu.

Kerangka had penggal boleh menyediakan struktur, tetapi keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana ia dilaksanakan dengan ikhlas dan dihormati dalam amalan.

Peranan masyarakat sivil juga tidak kurang pentingnya. Di Sarawak, rakyat dan aktor masyarakat sivil mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menyuarakan jangkaan serta menentukan bentuk tadbir urus yang mereka kehendaki.

Reformasi yang bermakna tidak boleh digerakkan secara atas-bawah semata-mata, sebaliknya perlu mencerminkan aspirasi tempatan, tahap kematangan politik, dan komitmen bersama terhadap kepimpinan yang bertanggungjawab.

Dalam kerangka ini, perbincangan mengenai had penggal tidak wajar dilihat sekadar sebagai latihan perundangan atau perlembagaan, tetapi sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperkukuh budaya demokrasi, ketahanan institusi, dan pembaharuan kepimpinan—baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.

Rumusan

Pengehadan dua penggal jawatan Perdana Menteri adalah reformasi institusi yang besar. Namun reformasi institusi asas yang perlu dilaksanakan di peringkat persekutuan dan semua negeri ialah melaksanakan penetapan tarikh pilihan raya secara tetap setahun lebih awal.

Asas inilah perlu dilihat sebagai reformasi institusi yang perlu Kerajaan Perpaduan dan negeri-negeri lain diterajui sebagai contoh kerajaan yang lebih bertanggungjawab kerana ini lebih mudah dilaksanakan tanpa kos tetapi dengan keazaman politik yang telus dan tulus terhadap  rakyat dan sistem demokrasi.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau  ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Imbasan banjir besar di kawasan tengah Sarawak pada 1963
Next: Pilihan raya Sarawak tunggu pengesahan SPR 17 kerusi DUN baharu?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.