MUKAH, 28 Oktober: Polis menahan seorang pengawal keselamatan berumur 36 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi khas di tepi Jalan Mukah-Balingian, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) merampas satu keratan tiub lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.45 gram serta dianggarkan bernilai RM50.00 di lokasi pemeriksaan.
“Suspek turut menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah jenis Amfetamin dan Syabu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan mula terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang itu sejak Jun lalu.
Justeru, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah, manakala Mahkamah Majistret Mukah telah meluluskan perintah reman selama empat hari sehingga 1 November depan bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, pihak polis sedang mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek.
Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah tersebut agar menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras gejala berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana menggunakan dadah secara salah.
Oleh Adibfahmy




