
KUCHING: Seorang pengawal keselamatan berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki menyerang rakannya yang berusia 55 tahun semasa bertugas di pos lobi Hospital Umum Sarawak kelmarin.
Ketua Polis Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kejadian berlaku kira-kira 4.00 pagi apabila mangsa dipukul dari belakang menggunakan rotan kayu.
“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala yang memerlukan lapan jahitan dan ibu jari kanan patah. Mangsa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rakaman CCTV dan keterangan saksi mendedahkan suspek merupakan rakan sekerja mangsa. Serangan itu dipercayai berpunca daripada pertikaian hutang peribadi antara mereka.
Suspek ditahan pada hari yang sama dan direman sehingga 15 November bagi siasatan lanjut atas tuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
ACP Alexson menasihatkan orang ramai menyelesaikan pertikaian secara aman dan tidak menggunakan kekerasan yang boleh membahayakan orang lain.
Oleh Connie Chieng