KUALA LUMPUR: Pendakwaan kes tuntutan palsu membabitkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyaksikan 17 individu termasuk pengarah syarikat dan seorang pelakon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan tiga negeri lain.
Kesemua mereka yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Sabah atas pertuduhan yang didakwa berlaku pada 2024.
Di KUALA LUMPUR, pelakon Farah Wahida Zainuddin, 44, dan rakannya Mohd Nizam Jamaluddin, 45, masing-masing didakwa atas empat pertuduhan di hadapan Hakim Suzana Hussin manakala dua wanita Lim Sue Peng dan Lim Sian Tze berusia 54 tahun, masing-masing berhadapan lima dan lapan pertuduhan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Farah Wahida didakwa sebagai Pengarah Focal Reality Entertainment Sdn Bhd telah memberi ejen Perkeso dokumen palsu, iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat itu dalam permohonan tuntutan insentif tersebut di sebuah premis di Off Jalan Gombak, di sini pada 29 dan 30 Mac 2024.

Mohd Nizam pula didakwa bersubahat dengan Farah Wahida atas kesalahan sama.
Sue Peng sebagai Pengarah Syarikat Zfinity manakala Sian Tze pemilik syarikat LST Concept Marketing dituduh atas kesalahan sama, di syarikat terbabit dan di sebuah premis di Taman Sri Sinar Segambut di sini antara 1 April hingga 2 Oktober 2024.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Farah Wahida, Mohd Nizam (RM6,000), Sue Peng (RM35,000) dan Sian Tze (RM48,000) dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain menetapkan 21 dan 25 Sept serta 2 Oktober untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa Nazreena Zainudin manakala peguam Zulkifli Awang mewakili Farah Wahida sementara Sue Peng serta Sian Tze pula masing-masing diwakili peguam Ahmad Faruq Sidik dan S. Kirthen.

Di PERAK, empat pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 29 pertuduhan sama antara Februari hingga September 2024, iaitu pemilik Assari Enterprise Chuah Hok Guan, 60, yang didakwa bersubahat dengan pemilik AC Engineering Chiang Hon Wai, 44, dengan masing-masing berhadapan lima pertuduhan.
Sementara itu, Chong Yee Hoe, 55, didakwa atas lapan pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi tuntutan insentif itu membabitkan syarikat Hao Hao Lucky Trading manakala Choo Lee Peng, 58, berhadapan 11 pertuduhan melibatkan syarikat Million Software And Services Sdn Bhd dan Million Goldrush Resources Sdn Bhd.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mansor dan Pegawai Pendakwa T. Yogeswary serta Mohd Afiq Mohd Adnan.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan jaminan RM8,000 terhadap Chuah, Chiang (RM7,000), Chong (RM8,000) dan Choo RM8,000 dan RM9,000, masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan termasuk melaporkan diri ke pejabat SPRM sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 September.

DI PULAU PINANG, empat pemilik perniagaan termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town atas 30 pertuduhan sama, yang didakwa dilakukan dua tahun lepas.
Neoh Wooi Lee, 50, pemilik Golden One Stop Services, D One Solution, As You Wish Enterprise dan Syarikat Century SS Solution didakwa atas 21 pertuduhan manakala pemilik Tojeda Enterprise Sdn Bhd Goh Chee Wai, 43, (enam pertuduhan), pemilik J.H Food Court Wong Joon Hong, 40, (dua pertuduhan) dan pemilik Great Solutions Management Phua Ai Ling, 45, (satu pertuduhan).
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Daerah Timur Laut di sini antara 1 Mac hingga 26 Ogos 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar dan Lim Jin Hong manakala kesemua individu terbabit diwakili peguam kecuali Phua.
Hakim Irwan Suainbon membenarkan jaminan RM28,000 untuk Neoh manakala tiga lagi tertuduh RM7,000 setiap seorang dengan syarat tambahan menyerah pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 September.

Sementara itu, di SABAH, lima individu termasuk empat pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas sembilan pertuduhan di Kota Kinabalu dan Tuaran.
Eksekutif Pemasaran Foo Fong Kent, 31, didakwa atas tiga pertuduhan memberi beberapa ejen Perkeso Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat Infinity Profit Enterprise dalam permohonan tuntutan insentif itu dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya antara 30 Mei hingga 9 Oktober 2024.
Selain itu, pemilik syarikat Hajah Yanong Enterprise Pausia Abu, 49, dan pemilik syarikat Cyber Vision Enterprise Mohd Azhar Ramali, 39, berhadapan dua pertuduhan melakukan kesalahan serupa antara 15 Mac hingga 14 Ogos 2024.
Sementara itu, pemilik syarikat Tasek Emas Enterprise Arzeanti Jafar, 40, dan pemilik syarikat Afijay Bersatu Nur Farhanah Jamil, 38, masing-masing berhadapan satu pertuduhan melakukan kesalahan itu pada 6 Ogos dan 19 Ogos 2024.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norsham Baharom dan kesemua mereka diwakili peguam kecuali Nur Farhanah.
Hakim Andi Razalijaya A Dadi membenarkan jaminan RM10,000 untuk Foo, Pausia dan Mohd Azhar manakala RM8,000 kepada Arzeanti dan Nur Farhanah serta menetapkan sebutan semula kes pada 14 September.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terlibat atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama




