
LAWAS: Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Polis Diraja Malaysia, CP Datuk Gilberd Philip Layang, mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas semalam.
Ketibaan rombongan disambut oleh Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, dan Pengerusi PERKEP IPD Lawas, Jurawati Bunsu, bersama seluruh warga IPD Lawas.
Sebagai tanda penghormatan, dua persembahan tarian dipersembahkan bagi menyambut ketibaan rombongan.

Persembahan pertama ialah tarian ‘Kuntau’ oleh Sarjan Kho Beng Laidari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Lawas, diikuti dengan tarian Selamat Datang oleh penari PERKEP IPD Lawas, yang memperagakan pakaian tradisional pelbagai etnik dari Sarawak dan Sabah.
Pada sesi perjumpaan di bilik taklimat IPD Lawas, Datuk Gilberd menzahirkan penghargaan terhadap usaha warga IPD Lawas memiliki bangunan IPD yang moden dan selesa.

Beliau menggesa semua warga PDRM Lawas supaya melaksanakan tugas dengan penuh semangat dan berintegriti.
Dalam amanatnya, beliau menekankan bahawa penyelenggaraan lif, lapang sasar, dan penghawa dingin adalah penting bagi memastikan jangka hayat peralatan yang panjang serta mengelakkan kerosakan serius.

Beliau dan rombongan turut menyatakan kepuasan terhadap keadaan bangunan baharu IPD Lawas, yang bersih, kemas, dan teratur.
Turut hadir Pengerusi PERKEP Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datin Siti Manau, Timbalan Pengarah (K/P/KA) JLog Bukit Aman SAC Rohana Abdul Rahman, Pengurusan Fasiliti, JLog Bukit Aman ACP Paul Henry Mewar Singh-KPP dan pengarah serta pegawai tinggi daripada Bukit Aman.
Oleh Adeng Edrus