KUCHING: Sarawak akan menjadi pusat pembangunan bola sepak akar umbi bertaraf antarabangsa dengan penganjuran Sarawak International Youth Football Championship 2025 (SIYFC25) yang akan berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun di Stadium Sarawak.
Kejohanan tersebut bakal menyaksikan penyertaan pasukan dari dalam dan luar negara dalam tiga kategori umur iaitu B8, B10, dan B12.
Lebih daripada sekadar pertandingan, SIYFC25 bertujuan menginspirasi generasi baharu bakat bola sepak muda serta menjadi platform untuk membina hubungan antara budaya melalui sukan.
Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abdurahman, menegaskan bahawa kejohanan tersebut merupakan peluang terbaik bagi pemain muda untuk merasai pengalaman bertanding di peringkat tinggi.
“SIYFC25 bukan sekadar kejohanan, ia adalah satu gerakan untuk membentuk juara masa depan.
“Kami teruja untuk menyambut penyertaan pemain muda dari seluruh dunia bagi merasai pengalaman pertandingan bertaraf tinggi sambil menghargai nilai kerja berpasukan dan pertukaran budaya,” katanya pada sidang media SIYFC25, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIYFC25, Nazree Nassir, pula menyatakan bahawa penganjuran kejohanan tersebut merupakan langkah penting ke arah menjadikan Sarawak sebagai pusat bola sepak akar umbi bertaraf antarabangsa.
“Kami berharap kejohanan ini bukan sahaja membuka peluang kepada bakat tempatan tetapi juga memberi impak yang berkesan terhadap ekosistem bola sepak di Malaysia,” ujarnya.
Selain perlawanan utama, kejohanan itu turut menampilkan pelbagai acara sampingan seperti Kuching Ola Bola Fest, perlawanan pertunjukan antara selebriti dan media, serta Sarawak International Grassroots Football Summit.
SIYFC25 mendapat sokongan penuh daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), dan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
SIYFC25 dengan slogan “Kicking Off Dreams, Creating Champions,” dijangka menjadi pentas penting dalam mencungkil bakat bola sepak muda serta mengangkat nama Sarawak sebagai destinasi utama bagi sukan bola sepak peringkat akar umbi.
Oleh Masrin Affirah