Penganjuran Sambutan Hari Malaysia di BCCK sedia persekitaran selamat kepada hadirin

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Keputusan menganjurkan sambutan Hari Malaysia di dalam bangunan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Sarawak pada 16 September bertujuan menyediakan persekitaran selamat susulan jerebu ketika ini. 

 Penolong Pengarah Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan (JAPEN) Yumna Baharuddin berkata keputusan itu juga bagi menyediakan persekitaran yang terkawal suhunya kepada semua hadirin dalam situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. 

Selain itu, beliau berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah pada tahun ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 2020 untuk melaksanakan sistem penggiliran antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Sistem penggiliran ini memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi geografi, dapat bersama-sama merasai semangat dan nilai sejarah Hari Malaysia secara langsung.

“Susulan penganjuran oleh Pulau Pinang pada 2025, sambutan kembali dibawa ke Sarawak yang membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh integrasi nasional merentasi semua wilayah,” katanya dalam temu bual eksklusif di TRAXX FM hari ini.

Selain itu, Yumna berkongsi kepentingan tarikh sambutan Hari Malaysia. 

“Jika 31 Ogos memperingati kemerdekaan pada 1957, 16 September pula menandakan penyatuan bersejarah pada 1963 yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura menjadi sebuah persekutuan yang berdaulat,” katanya. 

Sambutan tahun ini mengekalkan tema Hari Kebangsaan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang digandingkan dengan slogan perpaduan Sarawak “Segulai Sejalai” (Seiring Sejalan).

Acara di BCCK akan menampilkan pelbagai persembahan simbolik dan kebudayaan termasuk segmen alu-aluan antara etnik yang menggabungkan persembahan silat, hadrah, gendang pampat dan tarian singa.

Acara menarik lain termasuk upacara memotong pulut kuning dan persembahan artis dari tiga wilayah yang menampilkan penyanyi terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Stacy.

Selain itu, upacara menandatangani Buku Khas Pengisytiharan Malaysia oleh tiga tokoh pemimpin turut menjadi acara simbolik istimewa sempena sambutan itu. 

JAPEN bersama-sama agensi rakan strategik turut mengatur pelbagai acara sampingan dari 10 hingga 16 September termasuk Pameran Koridor Pembentukan Malaysia di Plaza Merdeka, pameran berkonsepkan pop-up di 10 bahagian di Sarawak serta program di Putrajaya, Selangor serta Kuala Lumpur bagi memastikan penglibatan meluas masyarakat.- Bernama

IPU Serian meningkat, Lundu catat 285

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak terus meningkat setakat 4.00 petang hari ini berbanding 12.00 tengah