KUCHING: Jawatankuasa Induk Para Sukan Malaysia (SUKMA) akan pastikan kemudahan pengangkutan bagi atlet disediakan secukupnya untuk melancarkan pergerakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bagi memastikan perkara itu, sebanyak 62 bas, 79 van, 19 kenderaan utiliti sukan (SUV), 20 kereta dan 10 lori akan disediakan sepanjang temasya Para SUKMA mulai 22 hingga 28 Sept ini.
Katanya, daripada 62 bas tersebut, 25 daripadanya adalah bas RapidKL yang memiliki kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), dikhaskan untuk atlet berkerusi roda.
“Bas-bas ini (Rapid KL) dilengkapi kemudahan mesra OKU, termasuklah ‘ramp’ dan ruang khas untuk kerusi roda.
“Ini adalah selaras dengan komitmen kita untuk menyediakan pengangkutan inklusif dan selamat bagi semua atlet, khususnya mereka yang bertanding dalam Para SUKMA.
“Selain itu, semua bas ini telah melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat sebelum penghantaran dan akan terus dipantau untuk memastikan kualiti perkhidmatan terbaik sepanjang temasya ini berlangsung.
“Bas-bas ini akan memainkan peranan penting dalam menghubungkan tempat penginapan ke lokasi pertandingan, majlis perasmian, majlis penutupan dan lokasi-lokasi lain yang relevan.
“Jadual dan laluan perkhidmatan telah dirancang dengan teliti untuk memastikan bahawa semua perjalanan berjalan lancar tanpa gangguan.
“Kami ingin memastikan bahawa para atlet dan pegawai tidak menghadapi sebarang masalah pengangkutan dan dapat fokus sepenuhnya kepada pertandingan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Dry-run’ Rapid KL sempena Para SUKMA di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurut Fatimah, seramai 44 pegawai dan petugas dari RapidKL termasuk 30 kapten bas serta 14 kakitangan sokongan tiba seawal 13 September bagi menyesuaikan diri dengan laluan ke venue pertandingan nanti.
Selain itu, Rapid KL juga akan menyediakan applikasi Rapidbus KIOSK untuk melakukan penjejakan masa nyata.
Katanya, Ini membolehkan pihak Jawatankuasa Pengangkutan Para SUKMA untuk menjejaki lokasi bas dalam masa nyata.
“Ini bermakna kita akan tahu dimana mereka berada, berapa minit lagi untuk sampai. Dengan aplikasi ini kita tahu dimana mereka berada,”katanya.
Untuk makluman, seramai 260 atlet Para SUKMA adalah atlet yang menggunakan ketusi roda. Bas RapidKL ini mampu menempatkan seramai tujuh hingga lapan atlet berkerusi roda dalam satu masa.
Oleh SHAHRUL QAIZAT