
LIMBANG: Seorang penganggur berusia 37 tahun menerima padah apabila ditahan bersama dadah jenis syabu dalam satu operasi di Kampung Mengari, Jalan Mendamit, semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, berkata suspek ditahan pada 1.30 petang menerusi operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.
“Dalam serbuan itu, polis merampas satu paket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 5.20 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod lampau dan dipercayai mula terlibat dalam penagihan dadah sejak awal tahun ini. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adeng Edrus