
KUCHING: Seorang penganggur dipenjara dua bulan dan denda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana mencuri tiga patung dewa Hindu dan beberapa peralatan sembahyang dari Kuil Seri Muniswaran di sini.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menjatuhkan hukuman itu selepas A.Thayalan @ Sivapragasam, 56, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Tertuduh yang berasal dari Ipoh, Perak mengaku melakukan kesalahan tersebut di kuil berkenaan yang terletak di Jalan Hospital, pada sekitar 8.30 pagi pada 9 September lepas.
Timbalan Pendakwa raya Chuah Kai Sheng mengendalikan pendakwaan, manakala Thayalan tidak diwakili peguam.
Menurut fakta kes, seorang pengadu membuat laporan polis selepas mendapati beberapa barangan untuk melakukan ibadat terdiri daripada pelita tembaga berantai, dulang tembaga, pasu tembaga dan tiga patung dewa tembaga di kuil tersebut, hilang pada hari kejadian.
Susulan laporan itu, tertuduh ditahan pada 18 September di sebuah rumah di Jalan Kampung Gita Laut, di sini.
Siasatan awal mendapati tertuduh menjual barangan berkenaan di sebuah premis membeli besi buruk di Jalan Setia Raja, di sini pada 13 September dan perbuatan tersebut turut dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamine.- Bernama