
SIBU: Seorang penganggur menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas didapati bersalah meraba dada seorang pembantu kedai di Kanowit, Rabu lalu.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Sli Maringai, 51, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikah dia ditangkap, 29 Oktober 2025.
Mengikut pertuduhan, Sli didakwa mencabul kehormatan dengan meraba dada mangsa di sebuah pasaraya mini di Kanowit pada 29 Oktober 2025, sekitar 9.30 pagi.
Tertuduh didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman, jika sabit dengan kesalahan.
Menurut fakta kes, pada 29 Oktober 2025, sekitar 9.30 pagi, mangsa sedang bekerja apabila dihampiri oleh tertuduh yang bertanya keberadaan ayah mangsa.
Selepas itu, tertuduh telah menyentuh dada sebelah kiri mangsa, menyebabkan mangsa menepis tangan tertuduh yang kemudian bertindak melarikan diri.
Perbuatan tertuduh itu turut dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di pasaraya mini tersebut.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan pada hari sama sekitar 6.20 petang, pihak polis telah menahan tertuduh di sebuah rumah panjang di Sungai Poi bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao Tharma Raja sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh Akun Giman