LUNDU: Sarawak sedang berunding dengan Putrajaya untuk kekal memberi peluang anak tempatan seperti dijanjikan dalam program pengambilan khas guru Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, kekurangan guru di Sarawak sukar diatasi jika pengambilan guru dari Semenanjung berterusan kerana mereka akhirnya akan meminta untuk pindah ke negeri asal.
Oleh itu katanya, kepada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn sedang berunding mengenai isu ini dengan pihak Kementerian Pendidikan.
“Sekiranya calon dari Semenanjung yang dipilih untuk mengajar di Sarawak, besar kemungkinan mereka akan membuat permintaan untuk berpindah kembali ke Semenanjung selepas beberapa tahun berkhidmat di Sarawak.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) ada perjanjian, meyakinkan kepada Dato Sri Roland Sagah bahawa pelantikan guru baharu ini nanti adalah dari Sarawak.
“Namun, tiba-tiba mereka mengubah fikiran, mereka bukakan kekosongan ini untuk calon di Semenanjung.
“Bukan maksudnya kita ‘anti-Semenanjung’, tetapi kita berkehendakan guru tempatan supaya mereka tidak meminta untuk dipindahkan.
“Kadangkala mereka (guru Semenanjung) berkhidmat di Sarawak, selepas dua tahun, mereka minta untuk dipindahkan semula (ke Semenanjung).
“Kalau anak Sarawak, mereka tidak akan meminta untuk dipindahkan, setidak-tidaknya hanya perpindahan dari daerah ke daerah, masih dalam negeri.
“Usaha mereka sebelum ini untuk mengambil anak Sarawak tidak ditunaikan, jadi saya serahkan kepada menteri (Roland Sagah), sekarang ini beliau sedang berunding,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Akademi Aeroangkasa Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di CENTEXS Lundu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Roland Sagah yang hadir sama pada sidang media itu menyatakan bahawa jumlah permohonan lebih 15,000 daripada anak Sarawak ini sepatutnya sudah mencukupi.
Bagaimanapun katanya, SPP masih memilih untuk membuka peluang ini untuk anak Semenanjung.
“Sudah ada 15,000 anak Sarawak, dan 2,000 lagi permohonan dari Semenanjung. Permohonan dari Sarawak sahaja sudah sangat banyak, sepatutnya mereka ambil sahaja permohonan dari anak Sarawak ini, tetapi mereka masih mahu membukanya untuk anak Semenanjung,” jelasnya.
Sebelum ini Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah menghebahkan iklan pengambilan khas guru untuk rakyat Sarawak secara besar-besaran bermula 1 Ogos lalu dan berakhir pada 23 Ogos.
Daerah Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok, dan Betong mengalami kekurangan yang paling ketara, masing-masing dengan lebih 100 kekosongan.
Kekurangan terbesar adalah dalam subjek khusus seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu, dan Pendidikan Pemulihan, selain kekosongan dalam 22 subjek lain, termasuk jawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Pengisian jawatan itu sepatutnya ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan SPP bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di semua 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Sarawak.
Pengambilan khas guru baru itu adalah terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda pendidikan dan juga graduan ijazah sarjana muda bukan pendidikan.
Permohonam dibuka mulai 1 Ogos hingga 23 Ogos 2024.
Calon yang berminat perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian MySPP menerusi https://myspp.spp.gov.my/myspp/index.php.
Mengikut jadual asal, sesi temu duga dilaksanakan pada minggu kedua September 2024 manakala keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan disasarkan pada November dan Disember.
Oleh SHAHRUL QAIZAT