
KUCHING: Mengisi kekosongan guru di Sarawak bukan sekadar soal jumlah, tetapi juga cabaran mendapatkan calon yang layak dan sanggup berkhidmat di luar bandar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn mendedahkan, walaupun terdapat ramai pemohon, namun jumlah calon yang benar-benar layak masih belum mencukupi untuk mengisi kekosongan yang ada.
Mengulas lanjut perkembangan terkini Pengambilan Khas Guru Sarawak, Roland berkata, ia sudah banyak diselesaikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Namun, masih banyak kekosongan. Walaupun ramai yang memohon, mereka yang mempunyai ikhtisas dalam pendidikan tidak begitu ramai untuk mengisi kekosongan yang ada.
“Kami juga berharap kekosongan tersebut dapat diisi dengan kemasukan graduan baharu dari Institut Pendidikan Guru (IPG) yang dijangka tamat pengajian tidak lama lagi.
“Apabila graduan IPG keluar nanti, kita dapat menambah lagi jumlah guru bagi mengisi kekosongan yang masih ada,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis perasmian Program Borneo International Robot Tournament 2025, di sini, hari ini.
Menurut data Jabatan Pendidikan Negeri, 96 peratus sekolah di Sarawak kini mempunyai guru yang mencukupi bagi subjek-subjek sedia ada, namun secara purata masih terdapat sekurang-kurangnya satu kekosongan di setiap sekolah.
Roland turut mengulas lanjut mengenai situasi calon guru yang menolak penempatan di kawasan luar bandar.
“Ini adalah keputusan mereka sendiri. Jika mereka menolak, kita tidak boleh berbuat apa-apa.
“Mereka telah memohon dan diberi peluang, tetapi jika mereka memilih untuk tidak menerima penempatan tersebut, itu adalah hak mereka,” jelasnya.
Tegasnya, rancangan pengambilan guru baharu anak Sarawak akan berterusan dari semasa ke semasa.
“Proses ini berterusan kerana setiap tahun sekitar 500 hingga 1,000 orang guru bersara atau meninggalkan perkhidmatan atas pelbagai faktor seperti berpindah atau menceburi bidang lain.
“Keperluan guru sentiasa ada serta kita baru sahaja menutup pengambilan baharu dan kini sedang menunggu graduan IPG yang bakal menamatkan pengajian sekitar bulan Jun,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak kekal komited dalam memastikan jumlah guru mencukupi bagi menampung keperluan pendidikan di Sarawak, khususnya dalam memastikan keseimbangan penempatan guru antara kawasan bandar dan luar bandar.
Oleh Masrin Affirah