
KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) komited memperkukuh kerjasama dengan pengamal media tempatan bagi mempromosikan keindahan taman-taman negara serta memperluas pemahaman masyarakat mengenai kepentingan konservasi biodiversiti di negeri ini.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, pihaknya melihat media sebagai rakan strategik dalam menempatkan Sarawak sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia melalui liputan yang berimpak dan berterusan.
Sehubungan itu, pihak SFC merancang menganjurkan lawatan khas media ke beberapa taman negara terpilih bagi memberi pendedahan lebih menyeluruh termasuk aspek saintifik, penyelidikan serta pengurusan kawasan perlindungan.
“Kita percaya liputan media yang konsisten dan berkualiti mampu meletakkan Sarawak lebih menyerlah di peta pelancongan dunia, khususnya dalam segmen pelancongan berasaskan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penghargaan Media bersama SFC di sini, malam ini.
Abang Arabi memaklumkan setakat ini sebanyak 70 kawasan telah diwartakan sebagai taman negara dan kawasan perlindungan di Sarawak, antaranya Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Gunung Gading dan Taman Negara Kubah yang terkenal dengan keunikan biodiversiti serta landskap semula jadinya.
Jelas beliau, keindahan hutan tropika, kepelbagaian flora dan fauna serta khazanah geologi yang dimiliki negeri ini perlu diketengahkan secara berhemah dan berfakta agar usaha konservasi dapat difahami serta disokong oleh masyarakat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada media tempatan yang selama ini memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan inisiatif pemuliharaan flora dan fauna yang dilaksanakan SFC.
“Kerjasama erat antara SFC dan media bukan sahaja memperkukuh agenda konservasi, malah membantu membina kesedaran kolektif dalam kalangan rakyat untuk bersama-sama memelihara warisan alam Sarawak demi generasi akan datang,” ujarnya.
Oleh Shikin Mahmud