Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Pengalaman pilihan raya Bangladesh
  • KOLUM

Pengalaman pilihan raya Bangladesh

Utusan Sarawak 6 hours ago

PILIHAN raya umum Bangladesh 2026 yang menyaksikan kemenangan besar Bangladesh Nationalist Party (BNP) bukan sekadar peristiwa domestik, tetapi mempunyai implikasi yang lebih luas kepada masyarakat dunia dari sudut demokrasi, kestabilan serantau, geopolitik Indo-Pasifik dan ekonomi global.

Bangladesh ialah negara dengan lebih 170 juta penduduk, antara ekonomi paling pesat berkembang di Asia Selatan dan pemain penting dalam rantaian bekalan tekstil dunia. Oleh itu, perubahan politik di Dhaka memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada sistem antarabangsa.

Latar politik

Pilihan raya umum Bangladesh yang berlangsung pada 13 Februari 2026 menandakan satu titik perubahan penting dalam sejarah politik negara Asia Selatan itu.

Kemenangan besar BNP dengan 209 kerusi Parlimen dan 212 kerusi melalui perikatan, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga, bukan sekadar kemenangan angka, tetapi isyarat jelas tentang perubahan sentimen rakyat selepas tempoh ketidaktentuan politik dan peralihan kuasa.

Pencabar terdekatnya, blok pimpinan Jamaat-e-Islami Bangladesh, memenangi 68 kerusi dan 77 kerusi melalui gabungan, lalu menerima keputusan pilihan raya serta berikrar menjadi pembangkang yang ‘berwaspada, berprinsip dan aman’.

Keputusan ini perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor struktur, dinamika kepimpinan, mobilisasi pengundi dan konteks politik pasca-kejatuhan kerajaan terdahulu. Terdapat beberapa signifikasi kemenangan tersebut.

TARIQUE Rahman (kanan) Perdana Menteri baharu Bangladesh, mengangkat sumpah jawatan pada 17 Februari 2026 di luar bangunan Parlimen di Dhaka. Foto AFP

Rantaian bekalan global

Bangladesh ialah pengeksport pakaian siap terbesar kedua di dunia selepas China. Industri tekstil dan pakaian negara itu menjadi tulang belakang kepada jenama antarabangsa dan pasaran Barat.

Pilihan raya yang menghasilkan kerajaan stabil mengurangkan risiko gangguan politik yang boleh menjejaskan operasi kilang, pelaburan asing dan rantaian bekalan global.

Dalam era ketidaktentuan geopolitik dan usaha mempelbagaikan sumber pengeluaran dari China, kestabilan Bangladesh menjadi faktor penting dalam strategi syarikat multinasional.

Reformasi institusi dan tadbir urus

Keputusan referendum pembaharuan perlembagaan yang mendapat sokongan lebih 60 peratus menunjukkan aspirasi rakyat untuk perubahan struktur.

Jika kerajaan baharu berjaya melaksanakan reformasi yang meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, Bangladesh boleh menjadi model bagi negara membangun lain yang bergelut dengan isu tadbir urus.

Masyarakat dunia, termasuk institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF), memberi perhatian kepada keupayaan kerajaan melaksanakan pembaharuan sebagai syarat kestabilan ekonomi jangka panjang.

Bangladesh sebelum ini melalui tempoh ketegangan politik dan perubahan kerajaan. Keupayaan mengadakan pilihan raya dengan penyertaan lebih tinggi dan peralihan kuasa yang teratur memberi mesej kepada negara lain yang sedang berdepan krisis legitimasi bahawa jalan keluar melalui proses demokrasi masih relevan.

Ini penting khususnya bagi negara-negara Global South yang sering berhadapan tekanan antara kestabilan dan kebebasan politik.

Dalam konteks global yang menyaksikan kemunduran demokrasi di beberapa negara, pilihan raya Bangladesh memberi mesej bahawa persaingan politik yang kompetitif masih boleh menghasilkan peralihan kuasa yang relatif aman.

Kemenangan: Faktor legitimasi dan pemulihan demokrasi

Faktor ini memainkan peranan besar dalam kemenangan BNP. Pilihan raya kali ini diadakan dalam suasana berbeza berbanding Januari 2024 yang menyaksikan pembangkang memboikot proses pengundian di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Boikot tersebut menyebabkan peratusan keluar mengundi merosot kepada 41.8 peratus dan menimbulkan persoalan tentang kredibiliti proses demokrasi.

Sebaliknya, pada 2026, kadar keluar mengundi meningkat kepada 59.44 peratus daripada 127.6 juta pengundi berdaftar.

Lonjakan hampir 18 peratus ini menunjukkan pemulihan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya di bawah kerajaan sementara pimpinan Muhammad Yunus.

Apabila proses dilihat lebih inklusif dan kompetitif, penyertaan rakyat meningkat dan memberi mandat lebih jelas kepada parti yang berjaya meyakinkan majoriti.

MUKA hadapan akhbar yang memaparkan Pengerusi Bangladesh Nationalist Party (BNP) dan calon pilihan raya, Tarique Rahman, dirakam di Dhaka pada 13 Februari 2026, sehari selepas pilihan raya umum Bangladesh. Foto AFP

Kepimpinan dan naratif kempen

Kepimpinan dan naratif kempen BNP di bawah Tarique Rahman menjadi faktor penentu. BNP berjaya membingkai pilihan raya ini sebagai referendum terhadap era politik lama dan peluang untuk pembaharuan institusi.

Rancangan pembentukan kerajaan baharu yang diumumkan sejurus selepas keputusan diumumkan memperlihatkan kesediaan parti untuk mentadbir secara tersusun dan bertanggungjawab.

Dalam konteks negara yang baru melalui peralihan kuasa dramatik, rakyat cenderung memilih kestabilan yang ditawarkan oleh parti dengan jaringan organisasi luas dan pengalaman mentadbir sebelum ini.

BNP memanfaatkan memori kolektif pengundi tentang keperluan keseimbangan kuasa dan akauntabiliti, sekali gus menampilkan diri sebagai alternatif yang mampu mengembalikan normaliti politik.

Struktur sistem pilihan raya

Faktor struktur sistem pilihan raya dan penyebaran kerusi turut menyumbang kepada kemenangan besar BNP.

Walaupun blok Jamaat-e-Islami mendakwa wujud beberapa ketidakteraturan dalam proses kiraan undi, Suruhanjaya Pilihan Raya menerbitkan warta rasmi bagi 297 kawasan Parlimen dan memastikan proses pengesahan berjalan menurut peruntukan undang-undang.

Dalam pertandingan sengit dengan majoriti tipis di banyak kawasan, kecekapan jentera pilihan raya menjadi penentu.

BNP yang memiliki struktur akar umbi kukuh dan pengalaman mobilisasi di peringkat daerah berjaya memanfaatkan persaingan sengit tersebut untuk meraih kemenangan di kawasan marginal.

Dalam sistem majoriti mudah, kemenangan tipis di banyak kerusi boleh diterjemahkan menjadi majoriti besar di Parlimen.

PEMIMPIN parti Bangladesh Jamaat-e-Islami bersama pemimpin parti-parti gabungan. Foto AFP

Dinamika pembangkang

Dinamika pembangkang dan penerimaan kekalahan oleh Jamaat-e-Islami menunjukkan kematangan politik yang membantu menstabilkan suasana pasca-pilihan raya.

Ketua Jamaat-e-Islami, Shafiqur Rahman, menerima keputusan keseluruhan dan menyatakan komitmen untuk menjadi pembangkang konstruktif.

Walaupun mendakwa wujud intimidasi dan gangguan terhadap pengundi, parti itu memilih untuk mengiktiraf kedaulatan undang-undang.

Tindakan ini mengurangkan risiko konflik meluas dan membolehkan proses peralihan kuasa berlangsung secara relatif aman, walaupun terdapat laporan seorang maut dalam keganasan pasca pilihan raya.

Penerimaan kekalahan ini secara tidak langsung memperkukuh legitimasi kemenangan BNP di mata rakyat dan komuniti antarabangsa.

Referendum pembaharuan perlembagaan

Aspek ini berlangsung serentak turut memberi kesan kepada psikologi pengundi. Dengan lebih 60 peratus menyokong pembaharuan dan kadar keluar mengundi 59.44 peratus, jelas terdapat aspirasi kuat untuk perubahan struktur politik.

BNP berjaya mengaitkan dirinya dengan agenda pembaharuan tersebut, sekali gus menampilkan parti itu sebagai wadah transformasi institusi. Apabila parti dilihat seiring dengan kehendak reformasi rakyat, ia memperoleh kelebihan moral dan strategik dalam kempen.

Konteks ekonomi dan sosial

Negara itu berdepan cabaran kos sara hidup, tekanan inflasi dan keperluan memperkukuh sektor pekerjaan dalam tempoh pasca-pandemik global.

Dalam keadaan ini, pengundi cenderung menyokong parti yang menawarkan pelan ekonomi lebih meyakinkan dan berorientasikan kestabilan.

BNP memanfaatkan isu kesejahteraan ekonomi dan pengurusan fiskal untuk menarik sokongan kelas menengah dan pengundi bandar yang mahukan kepastian dasar.

Dengan majoriti dua pertiga, parti itu kini mempunyai ruang lebih luas untuk melaksanakan agenda ekonomi dan pembaharuan institusi tanpa terlalu bergantung kepada kompromi koalisi.

Peranan kerajaan sementara

Di bawah Muhammad Yunus menyumbang kepada kelancaran proses pilihan raya. Tahniah rasmi beliau kepada Tarique Rahman menandakan pengiktirafan terhadap keputusan rakyat dan membantu meredakan ketegangan politik.

Mekanisme peralihan kuasa yang jelas, termasuk peruntukan bahawa ketua pesuruhjaya pilihan raya boleh mengendalikan angkat sumpah jika perlu, memberi jaminan bahawa kekosongan institusi tidak akan menjejaskan kesinambungan pentadbiran.

Kepastian prosedural ini memperkukuh persepsi bahawa sistem demokrasi Bangladesh berfungsi dengan lebih baik berbanding episod kontroversi sebelumnya.

Akhirnya, kemenangan BNP sebanyak 209 kerusi bukan semata-mata hasil kelemahan lawan, tetapi gabungan faktor legitimasi demokratik, mobilisasi pengundi, kepimpinan yang tersusun dan naratif reformasi yang meyakinkan.

Peningkatan peratusan keluar mengundi menunjukkan penglibatan rakyat yang lebih luas dan memberi mandat lebih kukuh kepada kerajaan baharu.

Pada masa sama, kesediaan Jamaat-e-Islami menerima kekalahan dan berperanan sebagai pembangkang utama menandakan potensi kematangan politik yang lebih stabil.

Pembelajaran politik untuk semua

Pengajaran paling asas ialah pentingnya legitimasi proses. Bangladesh menunjukkan bahawa apabila pilihan raya dilihat lebih terbuka dan kompetitif, kadar keluar mengundi meningkat secara signifikan.

BNP memenangi pilihan raya dengan naratif pembaharuan institusi dan pemulihan kestabilan. Parti politik di negara ini perlu membina naratif yang konsisten dan meyakinkan, memperkukuh imej pembaharuan dalaman dan mengelakkan persepsi kembali kepada politik lama.

Pengundi Malaysia semakin rasional dan mereka menilai keserasian antara janji dan tindakan.

Kemenangan tipis di banyak kawasan Bangladesh menunjukkan pentingnya jentera akar umbi yang memerlukan disesuaikan dengan realiti generasi muda dan penggunaan media digital, pendekatan lebih empatik dan berterusan manakala parti stabil lebih mudah meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu mentadbir negara.

BNP berjaya mengaitkan dirinya dengan agenda ekonomi dan pembaharuan struktur.

Di Malaysia, isu kos sara hidup, pekerjaan belia dan kestabilan fiskal adalah penentu utama. Maka parti yang hendak menang di Malaysia perlu menampilkan pelan ekonomi yang jelas dan mudah difahami, bukan sekadar slogan.

Dalam era maklumat terbuka, pengundi membandingkan dasar secara kritikal.

Rumusan

Akhirnya, kemenangan BNP menunjukkan bahawa mandat besar lahir daripada gabungan legitimasi proses, kepimpinan yang meyakinkan, organisasi yang kukuh dan naratif yang selari dengan aspirasi rakyat.

Perkara ini boleh diambil iktibar bahawa pengundi akan memberi peluang kedua atau baharu jika mereka yakin terhadap kestabilan dan pembaharuan yang ditawarkan.

Namun mandat besar juga membawa tanggungjawab besar. Demokrasi bukan hanya soal memenangi pilihan raya, tetapi memelihara kepercayaan rakyat selepas kemenangan dicapai.

Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Continue Reading

Previous: Anak Sarawak perlu rebut peluang jadi Jurutera Penyelenggaraan Pesawat di CENTEXS Lundu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.