Oleh Roslan Jomel
“Hilangnya hutan, bererti merosak ekosistem. Dan yang terburuk, datangnya bencana alam.” – dipetik daripada dokumentari Limbung Pangan, terbitan Watchdoc Documentary.
DOKUMENTARI yang berteras penyiasatan telus dan kritis itu membongkar beberapa kemelut yang melanda warga petani tradisional dalam mempertahankan hak, jati diri, budaya dan warisan di negara Indonesia. Produksi siri-siri dokumentari di bawah nama Watchdoc Documentary gigih memperjuangkan suara hati komuniti terpinggir agar didengari oleh audiens umum dan sudah tentu ditujukan kepada pihak atasan. Sesiapa sahaja boleh menonton dokumentari ini melalui saluran Youtube. Ada beberapa dokumentari tersedia dengan pelbagai isu yang menyentuh hati nurani. Disulami dengan sinematografi mengasyikkan dan siapa tahu, ia mendidik audiens untuk menginsafi betapa masa depan alam flora yang indah menghijau bakal musnah secara perlahan-lahan. Gara-gara kerakusan para kapitalis yang tidak berhenti-henti menjarah setiap ceruk kawasan demi keuntungan rangkaian perniagaan kroni mereka.
Bagaimanakah perasaan anda apabila diputuskan oleh hakim mahkamah dengan hukuman digantung sampai mati? Secara psikologinya, sudah tentu kecut, gelap alam sekeliling dan kemungkinan individu pelaku yang didakwa itu jatuh pengsan kerana terkejut mendengar kenyataan mengerikan itu. Skrin perasaan dan fikiran mula dibayangi oleh seutas tali yang disimpul untuk menjerut leher. Setiap detik bagaikan berlalu terlalu pantas. Selepas digantung, maka, tiada lagi hari esok dan hanya memorilah masih menyelubungi mereka yang ditinggalkan. Saya teringatkan sebuah filem bertajuk Apprentice (2016) arahan Boo Junfeng dari Singapura. Dibantu kesan khas bunyi dan pencahayaan kelam dan suasana mencengkam sehinggakan degupan jantung pelakon boleh didengari, justeru mendatangkan impak yang berasa lebih tajam dan mengilukan buat para penonton.
Sebagai teras naskhah, saat menunggu waktu untuk diheret ke bilik tali gantung merupakan subjek yang mencabar sensitiviti dan pasti mengundang simpati dan perhatian. Ia bukan mudah apabila menggambarkan ketegangan perasaan yang menghitung detik penghabisan hayat di dunia. Pengarang, Jawa anak Manggau cukup bijak memilih sudut itu untuk mengembangkan kandungan “Cerita dan Pesanan Terakhirku Sebelum Subuh”. Malah sungguh berani mempertaruhkan suatu subjek yang amat tidak menyenangkan jiwa pembaca. Dan untuk menyampaikan cerita sedemikian, pengarang harus memberikan tumpuan pada setiap deskriptif, peristiwa dan sebab-sebab yang menghantar hero naskhah ke bilik hukuman gantung sampai mati. Kecekapan dalam membina plot cerita yang menjadi benang merah kepada hukuman, menjadi tolok ukur kepada penulisan naskhah itu. Dari sudut penceritaannya, awal hingga akhir, saya memuji kekemasan kerja pengarang. Tenang dan meyakinkan. Perlahan-lahan sehingga ke klimaksnya. Sehingga sesiapa sahaja yang membaca boleh merasai kemelut jiwa watak utama. Inilah aspek mustahak dalam karya sastera yang perlu diberi perhatian.
Di sebalik pengakuan daripada watak utama itu, terpendam sebuah kisah berkaitan dengan hak mempertahankan tanah warisan yang selama ini menjadi tempat melangsungkan kehidupan. Apakah lagi yang tinggal jika tanah warisan jauh terpencil di pedalaman pun mahu direbut oleh para kapitalis? Wang bukan segala-galanya andai maruah dan harga diri sesebuah bangsa tergadai. Perjuangan keluarga watak utama untuk mengekal tanah warisan berakhir dengan tragedi. Kebiasaannya warga kecil sering payah melawan raksasa korporat yang mendabik dada dengan pengaruh kekayaan, kekuasaan dan wang. Seumpama semut bertentangan dengan gajah. Memang cerita yang dihasilkan Jawa Anak Manggau sudah klise dan kerap kali diungkapkan dalam karya-karya bertema domestik di Sarawak. Secara tidak langsung, Jawa Anak Manggau meneruskan kesinambungan tema yang pernah digarap oleh penulis-penulis Sarawak seperti Jaya Ramba, Jong Chian Lai, Awangku Merali Pengeran Mohamed dan beberapa penulis lain. Tema sebegitu tetap masih malar segar, penting dan sudah menjadi tanggungjawab para penulis untuk sentiasa menjadi lidah rakyat dalam menyuarakan isu-isu asasi kehidupan.
Namun inilah lapisan paling utama pada naskhah “Cerita dan Pesanan Terakhirku Sebelum Subuh” di samping keresahan dan kepiluan perasaan watak utama yang menunggu simpulan tali menjerut lehernya. Konflik mempertahankan tanah warisan itulah yang menjadi kunci sebenar atau motif asas kepada naskhah karangan Jawa Anak Manggau. Selama tiga tahun terperosok dalam penjara, Baki, 25 tahun, selaku watak utama, mahukan pengakuannya dengan Paderi Tom yang diundang buat menenangkan jiwa menunggu detik kematian, dirakam. Kematiannya bukan sia-sia dan perlu dibela. Nama dan maruah Baki wajar dibersihkan daripada masyarakat luar yang tidak tahu-menahu tentang dia. Terlalu banyak perkara yang menyendati fikirannya pada ketika itu. Ayahnya sudah meninggal dunia kerana sudah tidak mampu bertahan mengenangkan nasib Baki. Hal itu pasti menebalkan rasa kecamuk pada jiwa Baki. Tetapi dia pula terkurung dalam penjara dan menunggu detik kematian.
Dia bukan penjenayah murahan seperti peragut, penyamun atau perogol. Malahan Baki sesungguhnya seorang pemuda pendiam, rajin bekerja dan sangat menyanjung kedua-dua orang tuanya. Lebih daripada itu, Baki telah diletakkan peranan untuk menjadi pembimbing kepada dua orang adik lelakinya nanti. Terutama menjadi pelindung kepada ibunya. Kini, mereka terpaksa berdikari setelah ketiadaannya. Mengenangkan hal itu, Baki menitiskan air mata. Apa boleh buat. Menyesal pun sudah tidak berguna lagi. Dia perlu menerima kenyataan atas apa yang sudah dilakukan. Walaupun begitu, tindakan Baki memukul sehingga mati salah seorang daripada penyangak yang datang untuk mengusir mereka, suatu refleksi di bawah sedar kerana sudah tidak sanggup melihat ayahnya dihina. Undang-undang tetap undang-undang. Pendedahan dan punca Baki dilontarkan ke dalam penjara perlu disampaikan kepada pengetahuan umum sebagai keadilan atas tindakan nekadnya membela maruah keluarga. Baki merintih dalam pengakuannya;
“Aku tidak mahu kematianku ibarat mati enau tinggal di rimba. Semoga satu hari nanti aku tidak dipandang hina untuk selama-lamanya.”
Sudah 80 tahun keluarga Baki menetap di atas tanah berkeluasan 5 hektar, peninggalan datuknya. Di kawasan yang subur itulah, mereka menanam kelapa sawit, getah dan pelbagai pokok buah-buahan sebagai sumber pendapatan. Baki tidak bersekolah tinggi. Maka, di situlah tempat dia membanting tulang empat kerat sebagaimana pekerjaan yang sudah turun-menurun dilakukan penghuni di situ. Besarlah harapannya untuk membina rumah tangga bersama-sama dengan tunangnya nanti di atas tanah itu. Alangkah menyakitkan hati tiba-tiba sahaja hak tanah milik mereka dirampas begitu sahaja. Sebuah syarikat perladangan muncul dan dengan angkuh mengatakan bahawa tanah warisan yang didiami keluarga selama ini bukan lagi menjadi hak mereka. Ayah Baki yang berasa cemas dengan berita itu, segera ke Jabatan Tanah dan Ukur. Pegawai di jabatan itu bahkan memaklumkan bahawa tanah di sekitar tempat kediaman mereka akan dimajukan untuk tanaman kelapa sawit.
Sedikit pun ayah Baki tidak menyerah kalah begitu sahaja. Ayah Baki berulang-alik ke Jabatan Tanah dan Ukur demi merayu agar membatalkan pengambilan tanah di tempat mereka. Malangnya, usaha yang dilakukan ayah Baki tidak menghasilkan apa-apa. Keluarga mereka diberikan notis selama sebulan untuk berpindah. Pihak syarikat juga telah menyediakan pampasan namun bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan nilai tanah warisan yang diterokai selama 80 tahun. Pemberian sagu hati daripada pihak syarikat lebih bertujuan menjatuhkan kehormatan mereka yang menjadi penghuni di situ. Lihatlah betapa egonya kapitalis dengan warga kecil. Kekayaan dan kekuasaan yang dimiliki mereka menjadi alat sakti untuk berbuat apa-apa sahaja ke atas golongan marginal. Siapakah yang mampu menumbangkan kekebalan mereka andai ada pihak-pihak berwewenang turut menjadi tali barut? Hal itulah yang diluahkan Baki dalam pengakuan di depan Paderi Tom;
“Orang yang mempunyai wang senang saja mempengaruhi pihak yang berkuasa. Manusia yang berkuasa berperwatakan tamak seperti binatang buas. Sikap inilah menyebabkan rakyat miskin akan terus ditindas. Mereka mementingkan diri sendiri saja. Mencari kekayaan tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain. Kalau mereka di tempat kami barulah mereka merasa apa yang kami alami. Segelintir orang kaya mengambil tanah orang lain ibarat memilih baju. Tunjuk saja di atas peta di mana tanah yang mereka inginkan. Dengan kuasa wang, tidak sampai satu minit semua itu menjadi hak mereka. Begitu senang mereka mencuri hak orang lain.”
Dunia tidak adil, kata sebahagian orang. Tetapi sebagai manusia, tidak semua apa yang kita mahukan, dapat digenggam. Itulah hakikatnya kehidupan di dunia. Semua manusia tidak terkecuali daripada keterbatasan mereka. Apa-apa yang telah dimiliki selama ini, belum tentu kekal berada di tangan. Perjuangan ayah Baki untuk menambah lagi nilai pampasan juga tidak dilayan oleh pihak syarikat yang bakal merobohkan kediaman mereka. Demikianlah terjadi, lima orang samseng yang diupah oleh pihak syarikat, bersenjatakan parang dan pemukul bola besbol, datang untuk memaksa keluarga Baki segera keluar dari kediaman. Seiring dengan provokasi yang ditimbulkan oleh lima orang samseng itu, harta benda keluarga Baki dimusnahkan. Melihatkan sikap kasar dan tidak berperikemanusiaan itu, ayah Baki cuba membela maruah keluarga mereka. Namun apalah daya. Ayah Baki memohon agar penceroboh berbayar itu menaruh belas kasihan kepada mereka. Tetapi apa yang didapati ayah Baki hanyalah pukulan dan tendangan. Tergamakkah seorang anak lelaki melihat ayah kandungnya diperlakukan sedemikian rupa di depan mata?
Kesabaran Baki sudah tidak berdaya dibendung lagi. Dalam pengakuannya, Baki mengaku bagai dirasuk syaitan. Ia tindakan spontan. Walaupun lima orang samseng yang diutus oleh pihak syarikat bertubuh tegap dan besar, namun rasa marah dan tercabar mendorong Baki bertindak melampau kudratnya. Dengan sebatang kayu belian sebesar lengan kira-kira sedepa panjang, Baki mengayun kayu itu sekuat hatinya sambil tubuhnya berpusing-pusing. Apa yang terjadi, biarkan terjadi. Walaupun Baki akhirnya sedar bahawa tindakan yang tidak dijangka itu akan menamatkan hayat hidup sendiri buat selama-lama. Itulah konsekuensi yang berbalik kepada Baki. Ikutkan rasa, binasa. Ikutkan hati, mati. Tetapi, bagaimanakah dengan lima orang samseng yang menerima bayaran upah daripada pihak syarikat? Apakah mereka terlepas daripada hukuman undang-undang? Mengapakah hanya Baki sahaja yang dihukum?
Pukul 5.00 pagi, detik yang paling mendebarkan telah pun mendekat. Baki, banduan bernombor 2338, didatangi oleh tiga orang warden. Baki sudah sedia maklum tujuan mereka pada waktu itu. Setelah tangan Baki digari, warden pun memberitahu bahawa masa untuk menjalani hukuman telah pun tiba. Tiada walau seinci ruang buat Baki melarikan diri. Ia bukan seperti dalam adegan filem aksi. Tiada lagi ilusi dan kenangan-kenangan manis untuk diingat. Dua orang warden memimpin Baki dengan memegang kedua-dua tangannya. Baki melangkah dengan lemah, tidak berdaya dan betapa terseksanya jiwa kerana harus berpisah dengan orang-orang tersayang. Baki mengambil kesempatan pada sisa masa yang masih tertinggal untuk dengan berdoa kepada Tuhan agar menguatkan semangat menerima ketentuan nasibnya di tali gantung. Noktah terakhir untuk hayat Baki dalam naskhah itu pun diletakkan sebagai penamat tulisan.
Jawa Anak Manggau telah mempersembahkan sebuah naskhah yang baik dalam menyampaikan kritikannya tentang dominasi pihak kapitalis terhadap warga kecil di kawasan pedalaman. Termasuk juga yang menetap di tengah bandar. Naskhah itu mempunyai maksud khusus ditujukan kepada orang-orang kaya yang berselindung atas nama pembangunan. Pihak kapitalis sentiasa lapar dan tidak pernah berasa kenyang dengan apa-apa yang sudah dipunyai. Disebabkan itulah, kelompok elit yang menikmati kehidupan mewah akan terus berkongsi habuan dari tahun ke tahun dalam lingkungan mereka. Secara realitinya, kita telah melihat bagaimana bukit dan sungai telah dirata dan ditimbus untuk melancarkan projek pembangunan. Namun ke manakah perginya kekayaan itu nanti? Adakah kemakmuran itu nanti akan dikongsi dengan masyarakat atau lebih banyak yang mengalir ke dalam poket pihak tertentu?
Kesimpulannya, naskhah tulisan Jawa Anak Manggau telah dikerjakan dengan teratur. Pengarang menyelitkan cerita antara sesi pengakuannya dengan Paderi Tom. Teknik sebegini mengingatkan saya dengan gaya penulisan cerpen “Pelagus” karangan Awangku Merali Pangeran Mohamed walaupun tidak persis dengan isi cerita dan persoalan cerpen “Pelagus”. Besarlah harapan Baki agar luahannya akan sampai ke pengetahuan orang-orang di luar. Dia bukan banduan penjenayah sebagaimana yang disangka masyarakat. Memang terbukti, dia menyebabkan kematian orang upahan pihak syarikat. Namun tindakan itu berpunca daripada sikap kurang ajar mereka ke atas ayahnya. Tanah warisan mereka terlepas namun tidak maruah dan harga dirinya sebagai seorang lelaki. Kisah sebegitu pasti berulang lagi.
Sebagai penulis karya kreatif, apa yang dilakukan oleh Jawa Anak Manggau sudah memadai dalam memberikan makna kepada naskhahnya. Inti persoalan yang menaungi naskhahnya dinyatakan secara tersurat tanpa perlu berlapik lagi. Para penulis bukanlah pencipta dunia khayalan dan dongeng yang tidak berjejak kepada kenyataan hidup. Penulis harus sedar fungsi mereka; bukan sahaja mencerdaskan pemikiran tetapi juga mencambahkan daya kepekaan mereka terhadap isu-isu semasa yang mungkin tidak didedahkan di media arus utama. Sebagaimana kata Mario Vargas Llosa, tanpa karya fiksyen, masyarakat akan kurang cakna tentang kebebasan mereka ketika dikongkong oleh pihak berwewenang yang bersikap tukul besi. Saya amat berharap Jawa Anak Manggau kembali menghasilkan lagi karya-karya yang lebih mencabar, serius dan relevan dengan situasi masyarakat masa kini.