

TANGGAL 12 Rabiulawal merupakan tarikh keramat dalam sejarah umat Islam. Kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah cahaya yang menerangi kegelapan dunia. Sesungguhnya, kehadiran Baginda merupakan rahmat terbesar dan anugerah paling agung daripada Allah SWT kepada seluruh alam.
Rasulullah SAW diutus untuk membawa manusia kepada jalan kebenaran. Pada saat itu, masyarakat jahiliah hidup dalam kerosakan. Berhala disembah, zina dianggap kebanggaan, arak dan judi berleluasa, rompak serta bunuh dijadikan lambang keberanian.
Dalam keadaan penuh kegelapan inilah, Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW dengan risalah Islam yang membawa sinar keadilan, kasih sayang dan penyelamat umat.
Menghayati Perjuangan Rasulullah SAW
Setiap kali kita menyambut Maulidur Rasul, ia bukan sekadar perarakan atau bacaan selawat, tetapi ruang untuk menghayati perjuangan Baginda dan para sahabat.
Mereka menegakkan Islam dengan penuh kesabaran, ketabahan dan pengorbanan sehingga cahaya Islam menyinari timur dan barat.
Rasulullah SAW tidak hanya menyampaikan risalah, malah Baginda sendiri menjadi contoh dan teladan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud : “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik bagi kamu; iaitu bagi orang yang mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) di akhirat, serta banyak mengingati Allah.”
Ayat ini menegaskan bahawa Rasulullah SAW adalah “role model” yang paling sempurna. Baginda adalah contoh pemimpin adil, bapa penyayang, suami penuh kasih, sahabat setia, jiran prihatin, peniaga yang amanah dan insan yang sentiasa berakhlak mulia.
Pendek kata, Baginda adalah teladan terbaik untuk seluruh aspek kehidupan.
Mengapa Rasulullah SAW Wajib Dijadikan Ikutan
Setiap Muslim diwajibkan mencontohi Rasulullah SAW. Barang siapa yang meneladani akhlak Baginda, nescaya hidupnya akan dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan di dunia serta keselamatan di akhirat. Sejarah membuktikan, kekuatan umat Islam lahir daripada pegangan mereka kepada al-Quran dan sunnah.
Rasulullah SAW membentuk umat dengan tiga unsur utama: iman, akhlak dan amal soleh.
Daripada pendidikan inilah lahir tokoh-tokoh agung yang memberi sumbangan besar kepada dunia.
Akhlak Rasulullah SAW terserlah melalui sifat berani, pemurah, adil, benar, amanah, sabar, pemaaf, penyayang, zuhud, tawaduk, rajin bekerja, mengutamakan musyawarah serta penuh kasih sayang kepada keluarga dan masyarakat. Sifat-sifat inilah yang menjadi asas kekuatan peribadi seorang Muslim.
Kisah Teladan Keperibadian Rasulullah SAW
Diriwayatkan, ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama para sahabat, seorang Yahudi datang dengan kasar menyambar kain Baginda dan menuduh Baginda berhutang.
Umar RA yang melihat perbuatan itu terus bangkit ingin menghukum lelaki tersebut.
Namun, Rasulullah SAW menenangkan beliau dan bersabda yang bermaksud : “Ya Umar, aku tidak diutus dengan cara kekerasan. Ingatkan aku untuk melunaskan hutang dengan baik. Dan suruhlah dia menagih dengan sopan.”
Tindakan penuh bijaksana Rasulullah SAW menyebabkan lelaki Yahudi itu tersentuh. Dia mengakui bahawa perbuatannya hanyalah ujian terhadap akhlak Rasulullah SAW.
Ternyata kesabaran dan kebijaksanaan Baginda benar-benar menepati sifat-sifat Nabi yang disebut dalam Taurat, lalu dia memeluk Islam.
Kisah ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengajar kita mengawal emosi, bersabar dan bijaksana walaupun dihina. Inilah akhlak mulia yang menjadi kunci kejayaan dakwah.
Perubahan Besar Yang Dibawa Rasulullah SAW
Kehadiran Rasulullah SAW telah mengubah wajah peradaban manusia. Sekurang-kurangnya terdapat tiga perubahan utama:-
1. Perubahan kehidupan Rasulullah SAW menyedarkan manusia bahawa kehidupan tidak berakhir dengan kematian. Setiap amal akan dihitung di akhirat dan manusia akan diadili dengan seadil-adilnya. Keyakinan ini menjadikan umat Islam berusaha melakukan kebaikan dan menjauhi maksiat.
2. Perubahan kemanusiaan Rasulullah SAW menegaskan bahawa semua manusia sama di sisi Allah SWT, tiada kelebihan Arab atau bukan Arab, tiada kelebihan kaya atau miskin, tiada beza warna kulit. Yang membezakan hanyalah taqwa. Ajaran ini menghapuskan diskriminasi dan membuka ruang keadilan sejagat.
3. Perubahan aqidah Rasulullah SAW menanam keyakinan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Dengan itu, manusia melepaskan diri daripada perhambaan kepada berhala, harta atau kuasa. Sahabat Baginda sanggup berkorban segalanya demi Islam. Abu Bakar RA misalnya, menyerahkan seluruh hartanya untuk perjuangan agama dan hanya meninggalkan “Allah dan Rasul-Nya” buat keluarganya.
Iktibar Untuk Kehidupan Kita
Pengajaran terbesar daripada perjuangan Rasulullah SAW ialah pentingnya zakat, wakaf dan sedekah. Kita hanya diwajibkan mengeluarkan 2.5% daripada harta yang layak tetapi para sahabat sanggup berkorban seluruh harta mereka demi agama.
Sambutan Maulidur Rasul seharusnya mengingatkan kita bahawa Baginda adalah teladan agung dalam setiap aspek kehidupan.
Kita mesti memperbaharui tekad untuk hidup berlandaskan iman, amal soleh, serta kasih sayang sesama manusia.
Rasulullah SAW bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi contoh hidup yang perlu kita teladani. Michael Hart dalam bukunya “100 Most Influential People in the World” mengiktiraf Rasulullah sebagai manusia paling berpengaruh dalam sejarah dunia.
Pengiktirafan daripada bukan Islam ini membuktikan bahawa keperibadian Rasulullah SAW tiada tolok bandingnya.
Marilah kita menjadikan Baginda sebagai ikutan. Semoga sambutan Maulidur Rasul bukan hanya menjadi adat tetapi medan untuk kita memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menyambung perjuangan Baginda dalam menyebarkan rahmat Islam.
Wallahu Alam Bissawab