
ORANG ramai berkumpul di hadapan Dome of the Rock di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. FOTO AFP
ANKARA: Peneroka haram Israel meningkatkan pencerobohan ke dalam kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki sepanjang bulan suci Ramadan, ketika sekatan terhadap kemasukan jemaah Palestin ke kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi.
Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis pada Rabu berkata seramai 237 peneroka menceroboh perkarangan masjid itu dengan perlindungan polis Israel.
Menurutnya, peneroka memasuki masjid melalui Pintu Al-Mugharbah di bahagian barat, laluan yang sering digunakan dalam pencerobohan sedemikian.
Sementara itu, sekitar 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat tarawih iaitu solat sunat yang dilakukan pada Ramadan selepas solat isyak, di Masjid Al-Aqsa pada Selasa malam meskipun berdepan sekatan Israel.
Sejak awal Ramadan, Israel telah menghadkan kemasukan jemaah Palestin dari Tebing Barat yang diduduki ke masjid berkenaan, membenarkan hanya penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur dan rakyat Arab Israel untuk memasuki kawasan itu.
Rakyat Palestin melihat sekatan ini sebagai sebahagian daripada daripada dasar Israel yang lebih luas untuk Yahudi Baitulmaqdis Timur, termasuk Masjid Al-Aqsa, dan menghapuskan identiti Arab serta Islamnya.
Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci bagi umat Islam.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, tempat terletaknya Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967. Ia kemudian mengilhakkan seluruh bandar itu pada 1980, satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai tahun lalu mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel yang berlarutan di wilayah Palestin adalah tidak sah, serta menuntut pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.–BERNAMA