
GEDONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru penerima manfaat Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) supaya berdisiplin ketika berada di jalan raya dan tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan kerajaan.
Menurut beliau, program yang dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) itu bertujuan membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal pada kos minimum.
“Setelah memperoleh lesen, adalah penting untuk mematuhi undang-undang serta memastikan keselamatan diri ketika menunggang motosikal atau memandu kereta.
“Saya sendiri memiliki lesen B Penuh dan sentiasa menunggang motosikal mengikut had kelajuan yang ditetapkan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup program tersebut di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong.
Generasi muda supaya tidak menyalahgunakan jalan raya untuk berlumba kerana kerajaan telah membina infrastruktur bagi manfaat rakyat, bukan untuk aktiviti berbahaya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan bahawa program ini dapat meringankan beban rakyat dengan menawarkan lesen pada kadar subsidi.
“Kos mengambil lesen B2 di luar adalah RM750, tetapi melalui program ini, rakyat hanya perlu membayar RM250 manakala motosikal dan insurans ditanggung kerajaan,” jelasnya.

Sejak pelaksanaannya pada awal 2024, seramai 13,307 peserta di Sarawak telah memperoleh lesen, jumlah tertinggi di Malaysia manakala program kali ini menyaksikan seramai 1,135 peserta dari kawasan Gedong, Batang Sadong, Sadong Jaya dan Simunjan memperoleh lesen.
Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan jalan raya berikutan peningkatan kemalangan maut melibatkan motosikal di Sarawak.
Dengan peningkatan kemalangan maut daripada 198 kes pada 2023 kepada 201 kes pada 2024, beliau menekankan bahawa masih ramai penunggang motosikal mengabaikan pemakaian topi keledar.
Pada masa sama, ibu bapa juga diingatkan untuk memastikan anak-anak mereka berbuat demikian serta memperbaharui cukai jalan, kerana kecuaian boleh membawa maut.
Dalam perkembangan berkaitan, JPJ Sarawak juga telah melancarkan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 24 Mac lalu hingga 8 April depan bagi memastikan kelancaran perjalanan serta keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.
“Orang ramai juga digalakkan menggunakan aplikasi MyJPJ untuk membuat aduan berkaitan kesalahan jalan raya bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di negeri ini,” tambahnya.
Oleh Amanda L.