
SINGAPURA: Penerbangan komersial pertama membawa rakyat Singapura yang terkandas di Asia Barat susulan konflik berterusan, tiba di Singapura pada pagi Khamis.
Penerbangan Emirates EK314 berlepas dari Dubai ke Singapura sekitar 9.00 malam waktu tempatan pada 4 Mac dan mendarat di Lapangan Terbang Changi kira-kira 8.15 pagi Khamis, lapor CNA.
Menurut kemas kini perjalanan yang disiarkan di laman web Emirates, syarikat penerbangan itu terus mengendalikan jadual penerbangan terhad, walaupun semua penerbangan berjadual Emirates ke dan dari Dubai masih digantung sehingga 7 Mac berikutan penutupan ruang udara di seluruh rantau itu.
“Kami memberi keutamaan kepada pelanggan yang membuat tempahan lebih awal untuk menaiki penerbangan terhad ini. Emirates terus memantau keadaan semasa dan kami akan menyesuaikan jadual operasi kami sewajarnya,” menurut syarikat penerbangan itu.
Pada Rabu, Kedutaan Singapura di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral di Dubai menasihatkan rakyatnya di Emiriah Arab Bersatu supaya mendapatkan tiket penerbangan daripada Emirates dan Etihad Airways untuk meninggalkan negara itu.
Kementerian Luar Singapura serta perwakilan negara itu di Asia Barat kini menjalankan tinjauan bagi menilai minat rakyat Singapura di rantau berkenaan untuk berlepas dengan bantuan susulan penutupan lapangan terbang yang berterusan.
“Harap maklum bahawa ini hanyalah tinjauan untuk menilai minat bagi pelepasan dengan bantuan, dan bukan pengesahan bahawa operasi pemindahan akan dilaksanakan,” menurut mereka.
Mereka turut memaklumkan bahawa semua kos perjalanan seperti tiket penerbangan, pengangkutan darat, dokumen perjalanan, visa dan penginapan sementara akan ditanggung oleh para pengembara sendiri. – Bernama