ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Bilangan penerbangan dari Labuan ke Miri dikurangkan kepada tiga kali seminggu di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penerbangan tersebut hanya dibenarkan pada Isnin, Khamis dan Sabtu sahaja.
“Perkara ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini (semalam.)
“Manakala penerbangan dari Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur hanya dibenarkan dua kali seminggu iaitu Khamis dan Ahad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.
Abdul Karim turut mengumumkan bahawa semua kilang-kilang pemprosesan rumbia di Sarawak dibenarkan dibuka dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang setiap hari.
Menjawap pertanyaan mengenai perubahan penerbangan tersebut, Abdul Karim berkata perkara itu diputuskan tertakluk kepada keadaan semasa.
“Jika keadaan semakin reda, kita akan lakukan beberapa perubahan, kelonggaran atau membenarkan beberapa pembukaan operasi perniagaan lain.
“Sebagai contoh, kita telah membenarkan pembukaan kedai bengkel kereta, kedai alat ganti selama dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis dari 7 pagi hingg 7 petang sahaja.
“Namun, jika keadaan semakin teruk, sudah tentu PKP akan semakin diperketat dan dipertingkatkan,” jelasnya.
Tambahnya, pihak kerajaan juga tidak mahu sampai ke peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana jika sampai tahap itu, mereka yang berada di kawasan PKPD adalah langsung tidak dibenarkan keluar atau masuk.
“Tetapi sehingga kini keadaan Sarawak semuanya terkawal dan semua kluster yang diketahui juga terkawal dan berharap ia terus kekal sedemikian,” ujarnya.